1. Anwar, Dr Mahathir setuju tiada pertukaran jawatan TPM
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya tidak dibuat pertukaran kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Dalam satu hantaran menerusi akaun Facebooknya pada jam 8.40 malam semalam, Anwar turut berkata, rombakan Kabinet juga tidak diperlukan.
Katanya dalam pertemuan baru-baru ini beliau bersetuju dengan pendirian Tun untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet.
Dipercayai kenyataan itu dibuat selepas timbul khabar angin sejak beberapa hari lalu berhubung rombakan Kabinet yang kononnya akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri.
2. Khidmat Haziq ditamatkan
Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku lelaki dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri, ditamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Kementerian Industri Utama, dalam satu kenyataan, berkata penamatan perkhidmatan itu berkuat kuasa 18 Jun lalu, susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang turut dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.
Dalam pada itu, pihak kementerian memandang perkara ini sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.
Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 13 Mei lalu dan dia kemudian menjawab surat tunjuk sebab susulan kes berkenaan pada 14 Jun lalu.
3. Nie Ching tidak campur tangan urusan Pendidikan Islam: Maszlee
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, tidak timbul isu Timbalannya, Teo Nie Ching mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan seperti yang ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, Nie Ching hanya berkongsi maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut di sekolah.
Katanya, kaji selidik tersebut dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan, kemudian Nie Ching hanya kongsikan maklumat tersebut di media sosial beliau.
Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai hantaran Nie Ching dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam.
4. Insiden di Pasir Gudang mungkin disebabkan terhidu gas beracun
Insiden membabitkan 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor, yang mengalami kesukaran bernafas dan muntah-muntah, kemungkinan disebabkan gas beracun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bercakap pada sidang media di kementeriannya semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan menyedari kejadian itu dan akan memantau keadaan dengan teliti, sambil memberitahu ‘segala-galanya dalam kawalan’.
Tambah beliau, simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim.
Ditanya jika ada pengumuman tentang penutupan sekolah, Dr Dzulkefly berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan.
5. Kerajaan beri diskaun perkhidmatan mudah alih bagi OKU
Orang Kelainan Upaya (OKU) akan mendapat diskaun antara RM10 dan RM15 bagi pakej perkhidmatan mudah alih pra bayar dan pasca bayar manakala diskaun antara RM10 dan RM44 bagi pakej tertentu untuk perkhidmatan talian tetap.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama dan penyedia perkhidmatan talian tetap.
Gobind dalam kenyataan berhubung diskaun untuk golongan OKU itu berkata syarikat Celcom, Digi, Maxis dan uMobile menawarkan diskaun untuk pakej pasca bayar manakala YTL pula menawarkan diskaun untuk pakej pra bayar.
Bagi perkhidmatan talian tetap pula, Telekom Malaysia menawarkan diskaun sebanyak RM22 hingga RM44 untuk pakej Streamyx dan RM10 untuk pakej Unifi manakala Celcom akan memberi diskaun RM10 untuk pakej Home Wireless.