ECRL disambung dengan kos lebih rendah
Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang digantung sejak Julai 2018, disambung semula dengan kos fasa 1 dan 2 dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.
Katanya, kos asal RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion sekarang susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd.
Pengurangan itu akan memanfaatkan Malaysia dan meringankan beban kedudukan kewangan negara.
Bagaimana pun butiran lanjut perjanjian ditambah baik itu akan diberikan pada sidang media Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PRK Rantau: Tok Mat dijangka menang mudah
BN dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan kemenangan lebih selesa pada PRK yang akan diadakan esok.
Menurut kajian yang dilakukan firma penyelidikan bebas, ILHAM Centre, faktor calon, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menjadi penyumbang kemenangan kepada parti itu.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Azlan Zainal berkata, berdasarkan kajian secara tatap muka melibatkan 396 responden yang merupakan pengundi DUN itu mendapati Tok Mat ternyata unggul dan diterima semua segmen pengundi termasuk India dan Cina.
Katanya, trek rekod Tok Mat sebagai bekas menteri besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta merupakan anak tempatan memberi kelebihan besar dalam kempen PRK kali ini.
Bekas Presiden MAICCI, isteri didakwa perdagang amah
Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah wanita warga Indonesia antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Tan Sri M.K. Ketheeeswaran atau lebih dikenali dengan Kenneth Eswaran, 58, dan isterinya, Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta isterinya didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda, jika disabitkan bersalah.
Lelaki terselamat kereta terjunam dalam Sungai Gombak
Seorang pemuda nyaris maut selepas kereta Honda City dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Gombak di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu berusia 22 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari Sri Sina Segambut ke ibu negara untuk bertemu dengan seorang rakan sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh, berkata ketika kejadian, mangsa sedang memandu di lorong tengah di laluan tiga lorong itu sebelum hilang kawalan dan melanggar bahu jalan di sebelah kiri.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, memaklumkan sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat.
Bagaimanapun mangsa sudah keluar sendiri daripada kenderaannya sebelum jentera bomba tiba ke lokasi.
Pengasas Wikileaks bedepan hukuman penjara lima tahun
Pengasas WikiLeaks Julian Assange yang ditahan di London semalam berdepan hukuman penjara lima tahun di Amerika Syarikat (AS) sekiranya didapati bersalah atas dakwaan konspirasi pembocoran maklumat rahsia.
Assange berlindung di kedutaan Ecuador sejak tahun 2012 bagi mengelak ekstradisi ke Sweden berhubung kes serangan seksual yang kini telah digugurkan.
Assange yang perlindungan suakanya telah ditarik balik oleh Ecuador kini turut berdepan dakwaan kerajaan AS berhubung salah satu kes terbesar melibatkan kebocoran rahsia kerajaan.
Kerajaan Britain akan menentukan sama ada akan mengekstradisi Assange atau sebaliknya berhubung dakwaan Jabatan Keadilan AS bahawa beliau berpakat dengan bekas penganalisa perisikan, Chelsea Manning untuk memuat turun data rahsia pelbagai agensi kerajaan AS dan disebarkan di laman WikiLeaks.