Jerebu: Sri Aman Sarawak catat IPU tahap bahaya
Kawasan Sri Aman, Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap berbahaya apabila mencapai bacaan 367 pagi ini.
Laman Web Rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar menunjukkan skala bacaan IPU pada jam 9 pagi tadi berada pada skala berbahaya.
Kawasan Kuching kekal berada pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 220.
Lain-lain kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan (159), Sarikei (149), Sibu (168), Bintulu (129), Mukah (141) dan Samalaju (113).
Jerebu: sekolah di Putrajaya, Port Dickson pula ditutup
Sebanyak 63 sekolah di Port Dickson diarah tutup hari ini ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu mencecah paras 203 pada pukul 6 pagi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, bacaan IPU telah melepasi paras tidak sihat iaitu melebihi 200, sehubungan itu pelajar di semua sekolah di Port Dickson tidak dibenarkan hadir ke sekolah.
Terdapat 50 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah di Port Dickson.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, Sesi persekolahan 25 buah sekolah di Putrajaya ditutup hari ini ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200 atau status sangat tidak sihat.
Kerajaan tidak mungkin beri subsidi minyak sepenuhnya: Penganalisis
Kerajaan dijangka tidak akan membiayai sepenuhnya subsidi kenaikan harga minyak domestik sekiranya berlaku kenaikan harga minyak dunia dalam masa terdekat.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yemen sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia.
Menurutnya, meskipun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan subsidi akan diberikan bagi mengimbangi kenaikan harga minyak domestik, pihaknya percaya ianya bukan pemberian 100 peratus.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai tidak menolak kemungkinan kenaikan harga minyak domestik mungkin mencecah RM2.60 seliter(RON 95) sekiranya kenaikan harga minyak dunia mencapai tambahan 10 (USD)setong untuk jangka masa lebih sebulan.
Namun, beliau menegaskan status Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeksport gas asli utama dunia mungkin menyelamatkan kerajaan dengan membantu membiayai sebahagian kos belanja subsidi minyak mentah tinggi terpaksa ditanggung kelak.
Sarawak tetap bersama Malaysia: Abang Johari
Sarawak akan terus bersama Malaysia, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai masalah yang ditempuhi, kerajaan negeri yakin ia mampu diselesai secara bersama.
Beliau yang percaya setiap masalah dapat diatasi dengan baik serta semangat kekeluargaan walaupun Sarawak dan kerajaan Persekutuan berada di platform politik yang berlainan.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan malam semalam.
Rais saran orang Melayu amal semula memakai songkok
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan agar orang Melayu mengamalkan semula pemakaian songkok sebagai identiti budaya Melayu.
Katanya, apa salahnya kalau orang Melayu kembali memakai songkok untuk identiti mereka semasa yang diperlukan atau yang melazimkan mereka untuk berjuang.
Kata beliau, kita berasa bangga orang Melayu sanggup untuk berdastar, bertanjak dan bertengkolok semula. Orang Melayu dalam zaman gemilangannya memakai songkok dan mereka berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dengan memakai songkok.