Khairy beri Pakatan Harapan markah D
Kerajaan yang baharu mentadbir negara 10 bulan, Pakatan Harapan, dinilai hanya memperolehi gred D selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Memetik wawancara khas bersama R.AGE, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, gred itu diberinya kerana ada banyak isu ekonomi dan juga isu-isu lain yang belum diselesaikan oleh kerajaan PH.
Dalam wawancara itu, Khairy mendakwa beliau menerima banyak makluman daripada golongan perniagaan berkenaan pelaburan yang perlahan disebabkan kurangnya hala tuju daripada kerajaan, selain faktor ekonomi global.
Selain isu ekonomi, Khairy juga mendakwa kerajaan gagal memberi respons yang memadai untuk memadam rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu sejak PRU lalu.
Dedah akaun, masalah sebenar MAS: bekas CEO
Bekas ketua pegawai eksekutif MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mempersoalkan apakah aset yang dimiliki oleh syarikat penerbangan itu sekiranya ia mahu dijual kepada pihak swasta.
Katanya, perkara itu perlu dijelaskan oleh kerajaan kerana ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut, katanya seperti laporkan Free Malaysia Today.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan terbuka kepada mana-mana cadangan bagi menyelamatkan MAS, termasuk pembeliannya oleh sektor swasta.
Teknologi, media sosial, sukarkan tugas polis cegah jenayah
Perubahan masa dan teknologi, terutama penggunaan media sosial yang meluas memberi cabaran buat polis membanteras jenayah di negara ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perubahan yang berlaku membuatkan pasukan keselamatan itu sentiasa perlu melengkapkan kepakaran dalam pelbagai aspek.
Katanya, kegiatan penipuan sudah berubah daripada cara konvensional kepada cara lebih kompleks, bukan sahaja bersifat domestik, tetapi merentasi sempadan.
Misalnya, dahulu orang main judi guna daun terup, tetapi kini bertaruh secara dalam talian. Ada yang merekrut pengganas tidak perlu jumpa secara fizikal…’love scam’ yang kita tidak fikir sebelum ini mengakibatkan kerugian berbilon ringgit.
Guna platform betul salur maklumat kes Adib: Dr Lee
Dr Lee Boon Chye berkata mana-mana petugas perubatan perlu menggunakan saluran yang betul dan tidak menyebarkan sebarang maklumat menerusi media sosial berkaitan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Kata Timbalan Menteri Kesihatan itu, jika petugas perubatan menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan maklumat, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak benar seterusnya akan menganggu siasatan kes tersebut.
Jumaat lepas, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.
Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen balas di laman sosial media Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).
Parti pro-junta dahului pilihan raya Thailand, lebih 90 peratus undi
Parti pro-junta Thailand mendahului dengan kejutan ketika hampir semua undi dikira, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) semalam, mengetepikan lawannya pembangkang pro-demokrasi dalam pilihan raya pertama sejak rampasan kuasa 2014.
Parti Phalang Pracharat yang mahu mengekalkan kuasa ketua junta, Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri, memperoleh lebih 7.3 juta undi ketika 91 peratus undi dikira, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, melebihi setengah juta undi berbanding Pheu Thai.
Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, ia akan membuat pengumuman keputusan penuh hari ini termasuk jumlah kerusi dewan rendah dimenangi setiap parti.