Mahathir tersenarai 50 pemimpin terhebat dunia
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk dalam senarai 50 pemimpin terhebat di dunia oleh majalah perniagaan antarabangsa, Fortune.
Beliau diletakkan di tangga 47 di belakang tokoh perniagaan Amerika Syarikat, Tricia Griffith dan di depan jurulatih bola keranjang, Tony Bennet dari Universiti Virginia.
Fortune menggambarkan Mahathir sebagai seseorang yang “menulis babak baru dalam legasinya”.
Dalam satu petikan 2 perenggan, Fortune berkata: “Sepanjang 22 tahun pertama sebagai perdana menteri, dari 1981 hingga 2003, beliau menjadikan Malaysia salah satu harimau ekonomi Asia Tenggara, tetapi ketidakpedulian terhadap badan kehakiman dan akhbar membayangkan kecenderungan autokratik.
Tahun lepas, dia kembali untuk berkempen atas platform anti-rasuah, mengetuai sebuah parti politik baru kepada kemenangan yang mengejutkan ke atas penyandang, Datuk Seri Najib Tun Razak.”
Bulan lepas, Mahathir tersenarai dalam 100 tokoh berpengaruh pada 2019 oleh majalah antarabangsa, Time.
ESSCOM akan distruktur semula: Mohamad
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan distruktur semula bagi meningkatkan lagi keselamatan di pantai timur negeri ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berbincang mengenai keputusan itu, termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan bawah ESSCOM.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan pantai timur Sabah juga akan diteliti dari semasa ke semasa jika perlu diteruskan.
Beliau berkata, keselamatan di timur Sabah terkawal dengan menyaksikan insiden penculikan untuk wang berkurangan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Agong ucap selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dan Selamat Menunaikan Ibadah Berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Panglima Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka bertitah agar umat Islam mengambil peluang di bulan mulia ini untuk memperbanyakkan ibadah dan amalan serta merapatkan hubungan sesama insan.
Seri Paduka turut bertitah semoga tarbiah Ramadan pada tahun ini dapat mendidik insan supaya merasa dekat dengan Allah dan membina silaturahim sesama manusia sekali gus menyuburkan jiwa kehambaan terhadap Allah SWT.
Brunei lanjut tempoh moratorium hukuman mati homoseksual
Sultan Brunei melanjutkan tempoh moratorium ke atas hukuman mati untuk undang-undang syariah di negara itu yang berkaitan penzinaan dan homoseksual
ekoran kritikan global termasuk dari kalangan selebriti seperti George Clooney dan Elton John.
Reuters melaporkan, tindakan Brunei melaksanakan undang-undang syariah pada 3 April lalu dengan hukuman rejam dengan batu sampai mati itu menerima kritikan global termasuk yang menuduh Brunei melaksanakan hukuman tidak bertamadun dengan menjadikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) sebagai sasaran.
Pentadbiran Brunei Darussalam di bawah pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah ‘diserang’ habis-habisan oleh negara barat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa kononnya atas nama hak asasi manusia. Mereka menggesa Brunei menarik balik pelaksanaan hukuman tersebut dengan pelbagai hujah yang memualkan.
Pun begitu, Brunei konsisten mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang terbabit, ia kali pertama diperkenalkan pada 2014 dan dibatalkan secara berperingkat, sejak itu.
41 maut pesawat Aeroflot terbakar
Sekurang-kurangnya 41 orang maut dan puluhan yang lain cedera apabila sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot terbakar ketika cuba melakukan pendaratan kecemasan.
The Guardian melaporkan, video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan bahagian ekor pesawat Sukhoi Superjet 100 terbakar dan mencetuskan asap tebal.
Turut kelihatan pasukan penyelamat bertungkus-lumus membawa penumpang keluar daripada pesawat berkenaan menggunakan gelongsor kecemasan.
Ketika kejadian, pesawat itu dilaporkan membawa seramai 78 penumpang.