Polis tentu sudah maklumkan PM siapa dalang sebar video seks: Rais
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim percaya bahawa pihak polis telah melaporkan siasatan awal kepada kerajaan selepas menyoal siasat Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung penyebaran video seks didakwa bersama seorang menteri.
Sehubungan itu katanya, beliau yakin bahawa perdana menteri atau menteri dalam negeri sudah menerima laporan tersebut,
Selasa lalu, tiga klip video memaparkan seorang lelaki yang didakwa Haziq sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mula tersebar di media sosial, yang turut disusuli pengakuan daripada Haziq sehari selepas penyebaran video tersebut.
Bagaimanapun Azmin menafikannya dan mengancam mengambil tindakan undang-undang.
Jumaat lalu, polis menahan Haziq di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 5.30 petang yang dipercayai akan berlepas ke Manila, Filipina.
Video seks: Polis rakam keterangan Azmin hari ini atau esok
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka memberikan keterangan kepada polis berhubung video lucah sama ada hari ini atau esok.
Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya telah dimaklumkan secara rasmi oleh polis semalam yang memohon tarikh dan waktu sesuai Mohamed Azmin untuk memberikan keterangan.
Kata beliau, pihaknya di peringkat pejabat menteri sedang berbincang untuk memberikan keutamaan kepada polis bagi merakamkan kenyataan itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini memaklumkan pihaknya akan memanggil Mohamed Azmin untuk diambil keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan antaranya bersama Ketua AMK, Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Dua eksekutif dikaitkan skandal 1MDB dipenjara, denda RM1.6 bilion
Dua orang eksekutif yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, dijatuhi hukuman penjara oleh sebuah mahkamah di Abu Dhabi.
Lapor Bloomberg, Khadem al Qubaisi yang sebelum ini pernah mengetuai syarikat International Petroleum Inventment Co. (IPIC) di Abu Dhabi, dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.
Selain itu, Mohammed Badawy al-Husseiny, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan operasi syarikat subsidiari IPIC, turut dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.
Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) yang biasa dengan kes itu berkata, kedua-dua tertuduh perlu membayar denda sebanyak RM1.4 bilion.
Kanak-kanak tiga tahun suku Bateq mati akibat campak
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kematian kanak-kanak Orang Asli suku Bateq, dari Kuala Koh, Gua Musang semalam, disebabkan demam campak.
Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh sumber-sumber daripada pihak hospital.
Terdahulu dilaporkan seorang kanak-kanak Orang Asli, Nasri Rosli yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, meninggal dunia petang semalam.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan Jumaat lalu mengesahkan ujian terhadap sumber air di perkampungan itu setakat ini bukan penyebab kematian 15 penduduk Kuala Koh.
Isteri Netanyahu mengaku salah guna dana awam
Isteri kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam mengaku bersalah menyalahgunakan dana awam.
Sara Netanyahu dituduh membelanjakan RM413,832 untuk bayaran katering luar untuk menjamu tetamu kenamaan selepas mendakwa tiada tukang masak di kediaman Perdana Menteri.
Di bawah perjanjian rayuan, Sara diarahkan membayar semula (RM52,052 dan denda RM11,573.
Pada 2016, mahkamah membayar ganti rugi berjumlah (RM195,872 epada bekas amah, Meni Naftali yang mendakwa dia dihina secara lisan oleh Sara.
Sebelum ini, suaminya turut berdepan tuduhan rasuah, penipuan, pecah amanah melibatkan tiga kes.