Rasuah: Bung sedia terima sebarang keputusan
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau bersedia menerima sebarang keputusan daripada pihak berkuasa dan berharap tuduhan yang dikenakan terhadapnya akan dijawab dan diadili di mahkamah nanti.
Menerusi ciapan di twitter miliknya semalam, Bung yakin bahawa setiap perjalanan ditentuklan ALLAH dan kebenaran pasti benar.
Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Jumaat ini atas pelbagai tuduhan rasuah dan bersubahat.
SPRM dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan pasangan terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan FELCRA Bhd.
Katanya, Ahli Parlimen daripada BN itu dan isteri akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Mufti Perlis lapor polis ugut dicedera
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membuat laporan polis setelah menerima ugutan daripada seorang pemilik akaun Facebook untuk mencederakannya, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, Mohd. Asri menerima kiriman mesej ugutan itu melalui Facebook ketika berada di rumahnya di Padang Besar.
Kata beliau, dalam kiriman mesej tersebut, pemilik akaun bernama ‘Sandev Sandev’ itu mengugut untuk menumbuk Mohd. Asri sehingga cedera.
Mohd. Asri sebelum ini mempersoalkan penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang juga seorang pendakwah, kerana didakwa telah menghina agama Hindu.
Menurut Mohd. Asri penahanan itu adalah tidak wajar kerana Muhammad Zamri hanya berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan umat Islam di sebuah masjid secara tertutup, baru-baru ini.
Dicerca netizen, TMJ tenangkan Permaisuri Johor
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menenangkan bondanya yang melahirkan kerisauan selepas anakanda itu dicerca dan diperli susulan perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa isu baru-baru ini.
Melalui ciapan di Twitternya semalam, Tunku Ismail bertitah: “Jangan risau Mama. Segala-galanya akan baik sahaja. Tidak kira betapa gelapnya ribut melanda, ia akan sentiasa ada sinar mentari. Ini janjiku kepadamu, wahai ibuku. Allah Peliharakan Sultan.”
Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu dibuat selepas bondanya, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memuat naik status menerusi Facebook baginda yang menzahirkan rasa dukacita terhadap pihak yang tidak menghormati keluarga diraja Johor.
Antara perkongsian Raja Zarith Sofiah termasuklah mengenai perasaannya sebagai seorang ibu terhadap anakandanya yang dihina dan dikeji.
Pada tahun 2015, Raja Zarith Sofiah kehilangan anakandanya, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat akibat penyakit kanser.
Pelajar tahfiz di Tampin hilang ditemui di ibu negara
Dua daripada tiga pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang dari pusat pengajian mereka di Kampung Seri Repah, Tampin sejak minggu lalu berjaya ditemui awal pagi hari ini.
Bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan, Mahadhir Mat Lazim, 43, berkata, pelajar tahfiz terbabit ditemui olehnya di ibu negara kira-kira pukul 1 pagi.
Baru-baru ini dilaporkan tiga pelajar Tahfiz Al-Quran Darussyifa masing-masing berusia 13 hingga 14 tahun dilaporkan hilang dari pusat pengajian mereka sejak 24 April lalu.
Ketiga-tiga pelajar itu dipercayai melarikan diri dari pusat tahfiz tersebut kerana takut didenda selepas perbuatan mereka menggunakan telefon bimbit diketahui warden asrama.
Polis Sri Lanka dedah identiti sembilan penyerang
Polis Sri Lanka semalam menamakan sembilan individu yang mendalangi siri serangan bunuh diri yang meragut 253 nyawa pada 14 April lalu.
Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera menegaskan pihak berkuasa akan menggunakan kuasa undang-undang antikeganasan untuk merampas aset mereka.
Beliau mengesahkan dua hotel mewah dibom dua adik-beradik daripada keluarga kaya yang menjalankan perniagaan rempah di negara itu.
Menurutnya, kumpulan radikal terbabit menempatkan seorang pengebom bunuh diri di setiap lokasi serangan kecuali Hotel Shangri-La di mana ia adalah dua pengeboman bunuh diri.
Salah seorang pengebom bunuh diri adalah Zaharan Hashim yang merupakan ketua kumpulan militan tempatan, National Thowheeth Jama’ath (NTJ).
Sementara itu, hotel ketiga, Hotel Kingsbury dibom oleh lelaki dikenal pasti sebagai Mohamed Azzam Mubarak Mohamed.