1.Video intim sah tulen, pelakunya…
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen.
Bagaimanapun katanya, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan seratus peratus pelaku dalam video berkenaan yang tular sebelum ini.
Tambah Hamid jawapan yang diberikan kepada pihak PDRM adalah video tersebut adalah tulen namun tidak dapat disahkan seratus peratus siapa pelaku di dalam video tersebut.
Menurutnya, sebagai ketua polis negara beliau tidak boleh memandai-mandai kerana perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.
2.’Saya ada tengok cermin pagi tadi’
Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kenyataan pedas yang dikeluarkan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyuruhnya melihat cermin disebabkan Timbalan Presiden PKR itu hanya membaca tajuk berita tanpa menghayati berita penuh.
Meskipun, Mohamed Azmin dilihat keras dalam kenyataannya semalam, namun, Anwar hari ini memilih untuk meredakan ketegangan yang memuncak dalam parti itu.
Presiden PKR itu secara berseloroh mengakui beliau sudah melihat cermin pagi tadi tetapi sedikit terkilan kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya tentang letak jawatan sekiranya video intim itu sahih.
Semalam, Mohamed Azmin memulangkan paku buah keras kepada Anwar berhubung syornya untuk beliau melepaskan jawatan sekiranya video intim itu sah dirinya.
- Dua rang undang-undang ditarik balik
Dua rang undang-undang yang dijadual untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, ditarik balik.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang Mata Wang 2019 dan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019, yang masing-masing berada di nombor dua dan tiga Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Penarikan balik rang undang-undang itu dibuat Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebab kedua-dua rang undang-undang itu ditarik balik.
- ‘Atok miang’ rakam aksi lucah dengan budak 12 tahun didakwa
Lelaki warga emas yang melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sehingga tular di Facebook dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau.
V Subramaniam, 65, yang bekerja sebagai pemandu lori tidak mengaku bersalah atas lapan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam telefon bimbit miliknya.
- Neelofa umum tarik diri
Pengacara popular, Neelofa mengumumkan untuk menarik diri daripada menyertai Anugerah Bintang Popular edisi terbaharu dan edisi akan datang buat sementara waktu.
Neelofa, 30, menerusi kenyataan media memberitahu, keputusan tersebut diambil atas sebab kesibukan dalam perniagaan.
Bagaimanapun, pengacara program MeleTOP ini tidak menolak kemungkinan akan kembali menyertai pada tahun-tahun berikutnya apabila kembali menumpukan perhatian dalam bidang seni.