1. Zakir Naik berdepan tuduhan pengubahan wang haram
Pendakwah terkenal warga India, Zakir Naik telah dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwaraya India.
Zakir, 53, yang kini tinggal di luar negara didakwa telah memperoleh aset yang dikaitkan dengan jenayah bernilai AS$28 juta dollar US Atau (RM115,964,800).
Selain pengubahan wang haram pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.
Direktorat Penguatkuasaan (ED) India, yang menyiasat jenayah kewangan, memfailkan dakwaan terhadap Zakir di mahkamah Mumbai semalam.
Ia memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mengenal pasti aset berjuta-juta dolar yang didakwa hasil aktiviti jenayah.
Walaubagaimanapun, Menurut laporan BBC, Zakir telah menolak semua dakwaan tersebut.
Zakir merupakan pendakwah bebas yang diberi status kerakyatan Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu.
2. Kerajaan tak main silap mata pulihkan hutang Negara: Guan Eng
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bermain silap mata untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa singkat, berikutan menanggung hutang yang tinggi diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan memerlukan sedikit masa untuk merancang bagi mengurangkan bebanan hutang selama puluhan tahun, di bawah kerajaan terdahulu dan memulihkan ekonomi negara.
Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP, berkata, negara dirompak oleh kerajaan lama sehingga menanggung hutang sebanyak RM150 bilion termasuk hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Kerajaan berusaha mengurangkan hutang, dan beri sedikit masa, sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan ekonomi negara ke landasan yang betul dan bangkit sebagai Harimau Asia,”
Namun begitu, beliau berkata beban hutang itu tidak menghalang kerajaan meneruskan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
3. Impian Zahid tunai umrah lebur
Impian bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunaikan umrah lebur, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa miliknya.
Keputusan itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah, selepas mendengar hujahan permohonan dan pihak pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Collin memberi alasan permohonan Zahid ditolak memandangkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan kesalahan serius.
“Walaupun ibadah itu dituntut bagi umat Islam semasa bulan puasa tetapi ia bukanlah perkara wajib untuk ditunaikan. Lagipun, tiada keperluan mendesak untuk pemohon mengerjakan umrah,” katanya.
Terdahulu, peguam Hisham Teh Poh Teik berhujah, anak guamnya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 9 Mei sehingga 3 Jun dan akan menyerahkan kembali pasport tersebut keesokan harinya.
4. Kerajaan akan majukan tanah terbiar
Kerajaan akan mengenal pasti tanah milik kerajaan yang terbiar untuk diusahakan dengan projek pertanian.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ketika ini, terdapat banyak tanah kerajaan yang terbiar dan tidak dibangunkan, selain tiada perancangan khusus untuk membangunkan tanah itu dalam masa beberapa tahun akan datang.
Katanya, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dalam perbincangan strategik antara kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Sementara itu, Salahuddin berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada tanaman yang mendatangkan pendapatan dalam masa yang singkat di bawah Program Hasil Baharu dengan peruntukan RM1 bilion.
5. Ribuan pemandu teksi Australia saman Uber
Firma undang-undang di Australia memfailkan saman terhadap Uber Technologies Inc, bagi pihak ribuan pemandu teksi dan kereta sewa di negara itu, menuduh syarikat itu beroperasi secara haram dan menyebabkan mereka berhadapan masalah kewangan.
Saman berkenaan, yang difailkan di Mahkamah Agung Victoria oleh firma undang-undang Maurice Blackburn, dikemukakan bagi pihak 6,000 pemandu dan pemilik lesen teksi dari empat negeri, kata peguam dalam satu kenyataan.
“Ini akan menjadikan kes bersejarah terhadap operasi haram Uber di Australia, dan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat yang bekerja keras dan mematuhi undang-undang,” kata peguam Andrew Watson.
Uber ternyata popular dalam kalangan rakyat Australia, walaupun berhadapan kemarahan industri teksi dan banyak pihak berkuasa tempatan.
Peguam mendakwa Uber tahu ia beroperasi secara haram di Australia atas beberapa alasan, termasuk ‘menggunakan dasar beroperasi dalam pasaran yang menyaksikan pengendalinya secara diam-diam membenarkan ia melakukannya kerana kegagalan mengambil tindakan penguat kuasaan secara langsung.