1. Akaun pada cek RM1.4 juta palsu: Nasrudin
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan mendakwa menafikan gambar cek dan nombor akaun yang dikatakan sebagai bayaran RM1.4 juta yang dibuat Pas.
Kenyataan itu turut disertai dengan tanda pagar “#tolakakaunpalsu”.
Meskipun tidak menyebut secara spesifik, ia dipercayai merujuk cek RM1.4 juta yang didakwa diterima Clare Rewcastle Brown, sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu.
Bagaimanapun, cek yang dikongsi Clare di Sarawak Report itu tidak mendedahkan nombor akaun.
2. Kajian pengambilalihan tol siap 2-3 bulan: Guan Eng
Kajian impak terhadap cadangan pengambilalihan konsesi tol lain di seluruh Negara dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Guan Eng berkata, kajian yang dijalankan dengan kerjasama kementerian Kerja Raya itu perlu dibuat secara terperinci memandangkan proses pengambilalihan tol lain lebih rumit, berbanding pengambilalihan empat konsesi tol di bawah Gamuda Berhad, dari segi prinsip mudah difahami dan tidak terlalu sukar.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih empat konsesi lebuhraya yang mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.
Lebuhraya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong(LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.
3. PRK Semenyih: Enam laluan dijangka sesak
Enam laluan di sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang dijangka sesak berikutan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, enam lokasi itu membabitkan persimpangan lampu isyarat Bandar Sunway, persimpangan lampu isyarat Paling Jaya; persimpangan lampu isyarat Sungai Lalang; Pekan Semenyih, Batu 26 Beranang dan Bandar Rinching.
“Orang ramai yang tidak terbabit dengan proses pengundian, mereka disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Eco Setia Hill, Jalan Ecoworld dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) untuk mengelakkan kesesakan di laluan utama di Kajang, Semenyih serta Beranang.
“Hanya laluan di depan Dewan Cempaka, Saujana Impian akan ditutup dan dilencongkan ke jalan di kiri serta kanan dewan berkenaan bermula 2 petang hingga keputusan pilihan raya diumumkan, esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
4. Sultan Johor terima Sijil Kelayakan Pemandu Kanan Lokomotif KTMB
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima Sijil Kelayakan Pemandu Kanan Lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), hari ini.
Sultan Ibrahim berkenan berkongsi gambar majlis penyerahan sijil itu yang berlangsung di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur pagi tadi melalui akaun Facebook rasmi baginda.
Sijil berkenaan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Shamsudin kepada Sultan Ibrahim.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima sijil penghargaan kerana mencemar duli memandu tren terakhir Lokomotif Kelas 26 (26108 TG KUPANG) keluar dari Stesen Tanjong Pagar, Singapura ke Stesen Johor Bahru pada 1 Julai 2011.
Selepas majlis berkenaan, baginda berkenan memandu tren khas bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Johor Bahru hari ini, yang berlepas dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur pada jam 9 pagi sebelum berhenti di Stesen Kereta Api Segamat.
5. Azizulhasni kemalangan
Selepas memberikan segala yang termampu, nasib tidak menyebelahi jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk mengulangi pencapaian terbaiknya, apabila sekadar berada di kedudukan ketujuh, acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Poland, pagi Jumaat.
Kemalangan yang dialami ketika pusingan pertama sedikit sebanyak, menjejaskan rentak kayuhan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, terutamanya dari segi pernafasan kesan daripada impakan di bahagian rusuk kiri.
Ekoran kemalangan itu keputusan Azizulhasni pada saingan semifinal, tidak memberangsangkan dan terpaksa berlumba merebut kedudukan ketujuh hingga ke-12.
Di semifinal, Azizulhasni berada di tempat keempat daripada enam pelumba keseluruhan. Tiga terbaik dari setiap saingan layak untuk berlumba bagi merebut tempat pertama hingga keenam.