1. Anwar akan ambil alih bila tiba masanya: Dr Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan semula janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH), walaupun tiada tempoh masa dinyatakan.
Perdana Menteri berkata, beliau akan turun selepas tempoh masa tertentu bagi meletakkan ekonomi di landasan yang tepat.
Kata beliau, berurusan dengan ekonomi Malaysia adalah satu isu yang paling besar dan menekan yang perlu diselesaikan sebelum peralihan kuasa.
Katanya lagi, negara perlu mengurangkan pinjaman kepada satu tahap tertentu di mana wang negara boleh digunakan untuk keperluan pembangunan.
2. Kerajaan perlu tiga tahun kurangkan hutang
Kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun bagi mengurangkan hutang negara kepada paras siling 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding paras semasa 80 peratus, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Perdana Menteri, biarpun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan telah dapat mengurangkan hutang melebihi RM1 trilion itu ke tahap semasa.
Beliau berkata, kerajaan perlu melunaskan hutang negara dan mengurangkannya sehingga ke paras wajar agar ia tidak menelan semua hasil yang diraih sepanjang proses mentadbir negara ini.
Selain itu, Dr Mahathir berkata Malaysia kini berada di landasan tepat bagi memulihkan negara berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan per kapita.
3. Jho Low akan ditahan dalam tempoh terdekat
Ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dijangka ditahan dalam tempoh terdekat, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata pihaknya yakin dapat membawa Jho Low pulang ke negara ini untuk dibicarakan ke muka keadilan.
Rabu lepas, Abdul Hamid berkata, polis mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
4. Tiga lelaki kantoi curi lembu
Tiga lelaki menerima padah apabila tindakan mereka mencuri seekor lembu berjaya ditumpaskan oleh pemilik haiwan itu sendiri di Jalan Sungai Lokan, Butterworth, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pengembala lembu itu menyedari kejadian tersebut selepas terdengar anjingnya menyalak kira-kira jam 3.15 pagi.
Menurutnya, dia yang mengesyaki sesuatu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua ekor lembu yang berada dalam kandang disumpit dengan ubat pelali.
susulan tangkapan, pihaknya berjaya merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri lembu.
5. Kegilaan terkini ‘Get that money challenge’
Boleh dikatakan hampir setiap bulan muncul cabaran baharu yang menjadi tular di laman media sosial.
Namun, kegilaan terbaharu di laman Twitter ternyata ‘menyakitkan’.
Dikenali sebagai ‘Get that money challenge’, cabaran tersebut mengkehendaki kanak-kanak ‘menangkap’ kad kredit yang dijatuhkan di pintu dengan hanya menggunakan dahi.
Sekiranya berjaya mendapatkan kad kredit tersebut, mereka dibenarkan membeli apa sahaja dengannya.
Sebaliknya jika gagal, mereka sekadar mendapat benjolan di dahi.