Empat sekeluarga maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 55 Jalan Kluang – Kota Tinggi, malam semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.33 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Firdaus Januri, 34, isteri Norlia Osman, 33, serta dua anak Muhammad Adli, 6 dan Nur Dalili, 4 maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kenderaan terlibat adalah sebuah Honda Civic, Proton Saga serta sebuah lori.
Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan oleh pemandu lori yang dikatakan telah gagal mengawal kenderaan seterusnya memasuki laluan kenderaan dua buah kereta yang berada di laluan bertentangan.
“Ekoran itu, menyebabkan pertembungan secara berhadapan,”katanya dalam satu kenyataan, malam semalam.
Tambahnya, kesemua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat.
Jelasnya, kes disiasat Seksysen 41 (1) APJ 1987 manakala pemandu lori berusia 30an akan direman untuk saringan ujian air kencing dan siasatan lanjut.