Dana RM90 juta: Nik Abduh, Husam, Nasharudin dipanggil SPRM
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz antara yang dipanggil bagi memberi keterangan mengenai dana RM90 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Turut dipanggil ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa
Kes tersebut mendapat perhatian apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.
Saman itu dibuat ekoran pendedahan portal berita, Sarawak Report pada Ogos 2017 yang mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan Pas bagi menarik sokongan mereka terhadap Umno dan BN.
Pas sedia ‘buka pintu’ untuk MCA
Pas sedia ‘membuka pintu’ untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk MCA dalam menangani isu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, MCA tidak akan menjadi jelmaan kepada Pas atau sebaliknya jika kedua-dua parti bersetuju untuk bekerjasama selepas ini.
Walau bagaimanapun, Pas akan tetap mempertahankan pendirian dan teras perjuangan parti itu demi menjaga agama dan bangsa seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang bersedia bekerjasama dengan Pas dalam isu-isu membabitkan kepentingan negara.
Duit Tabung Harapan Negara buat bayar hutang
Sehingga tarikh akhir 14 Januari lalu, jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia (THM) mencecah lebih RM202 juta.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kementerian kini dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun terbabit sebelum pengauditan dijalankan Jabatan Audit Negara.
Kata beliau, jumlah sumbangan ini digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia.
Wan Azizah masuk hospital berita palsu
Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan catatan di laman Facebook mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dimasukkan ke hospital adalah palsu.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata gambar Dr Wan Azizah bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang adalah gambar lama dan kapsyen “Selepas Azmin Ali dimasukkan ke hospital, tiba giliran Wan Azizah Ismail” adalah palsu.
Menurut kenyataan itu, Dr Wan Azizah juga bimbang dengan peningkatan catatan palsu di media sosial ketika ini, terutamanya mengenai kerajaan.
Polis sahkan mayat Sala dalam bangkai pesawat
Polis semalam mengesahkan mayat yang dijumpai penyiasat Britain dalam bangkai pesawat yang terhempas di Channel itu telah dikenal pasti sebagai pemain Cardiff City, Emiliano Sala.
Mayat yang ditemukan pada Rabu lalu itu dibawa ke pulau di Portland di selatan England untuk pengecaman rasmi oleh koroner yang menyiasat kematian mengejut yang disyaki berkaitan jenayah di Britain.
menurut jurucakap polis di Dorset dalam Twitternya berkata keluarga Sala dan juruterbang, David Ibbotson telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut.
Pesawat ringan membawa pemain bola sepak berusia 28 tahun itu dan Ibbotson, 59, ke pasukan baru Liga Perdana, Cardiff City, hilang berhampiran pulau Guernsey, pada 21 Januari lalu.