Dendam punca Siti Masitah dibunuh, bukan penjualan organ
Dendam terhadap keluarga mangsa dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam Siti Masitah Ibrahim, 11, yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Piai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nayan berkata, Siti Masitah dipercayai dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dia dilapor hilang 30 Jan lalu.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun pada 31 Jan selepas menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berketurunan Kemboja itu.
Othman berkata hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri dipercayai akibat dipukul dengan kayu.
Sehubungan itu, beliau menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat kehilangan organ-organ badan mayat berkenaan yang kononnnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.
Kesilapan AGC punca bicara Najib ditangguh
Peguam Haniff Khatri Abdulla mengkritik apa yang menurutnya langkah silap oleh pihak pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara yang menyebabkan penangguhan perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Beliau yang menyifatkan langkah pihak pendakwaan sebagai “tahan jerat sorong kepala”, katanya pada satu kenyataan.
Kesilapan pertama, katanya, adalah keputusan pendakwa untuk menambah tiga lagi pertuduhan berkaitan SRC International 15 hari sebelum perbicaraan.
Pada 28 Jan lalu, pihak pendakwaan mengenakan tiga lagi pertuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hanya untuk meminta Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan pembebasan tanpa dilepaskan pada 7 Februari.
Ijazah saya sah: Najib
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia membuktikan beliau menamatkan pengajian di Universiti Nottingham, United Kingdom sekitar tahun 19790-an.
Najib, yang mengkritik pemimpin Pakatan Harapan dalam isu kelayakan akademik, turut menjadi sasaran dalam isu sama.
Semalam, Adun Keranji, Chong Zhemin mendakwa Najib tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Nottingham.
Najib sebelum ini menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menangani isu maklumat kelayakan akademik beberapa kementerian yang dikatakan tidak tepat.
28 restoran salah guna ayat al-Quran didenda sehingga RM1 juta
Sebanyak 28 restoran didenda sehingga RM1 juta masing-masing kerana menyalahgunakan ayat al-Quran untuk memberi tanggapan premis mereka berstatus halal, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Katanya, tindakan itu diambil bulan lalu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Dalam tempoh 11 Januari hingga 31 Januari lalu, sebanyak 1,975 premis telah diperiksa dan 28 daripadanya disyaki mempunyai elemen menyalahgunakan ayat al-Quran bagi menggambarkan premis seolah-olah halal.
10 tong bahan kimia bocor di Semenyih
Kebocoran sejenis bahan kimia dikesan di luar sebuah kilang di Kampung Sungai Lalang dekat Semenyih malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih Zainal Elias Abdul Aziz berkata pihaknya menggerakkan lapan pegawai dan anggotanya termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Shah Alam bersama dua jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 10 malam.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kira-kira 50 tong mengandungi bahan kimia itu diletakkan di luar sebuah kilang berhampiran kawasan lapang di lokasi berkenaan.
Beliau berkata pihaknya bersama unit Hazmat sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan.