Jangan pelik Pas dapat duit, kami ada lebih sejuta ahli: Abdul Hadi
“Jangan pelik dimana Pas dapat duit. Duit itu dari poket kita sendiri. Orang kita sendiri yang bekerja, yang bertungkus lumus, yang menderma,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu berkata, sumber kewangan parti itu diperoleh dari lebih sejuta ahli di seluruh negara yang memberikan kepercayaan mereka kepada Pas.
Bukan itu sahaja kata Abdul Hadi, tambahan pula Pas sendiri mempunyai beribu Pasti, dan beratus sekolah.
Abdul Hadi berkata demikian susulan dakwaan wang sebanyak RM90 juta disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.
Zahid akan kembali selepas ‘peristiwa besar’
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan kembali memimpin parti itu selepas peristiwa besar berlaku dalam negara tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apakah peristiwa besar yang dimaksudkannya itu.
Katanya beliau perlu menghabiskan cutinya kerana mengikut ‘kasyaf’ para ulama ada menyebutkan akan berlaku peristiwa besar dalam negara.
Ahmad Zahid pada 18 Dis lalu mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.
Dana RM90j: ‘Yang lapor SPRM tu salah orang kot’ – Nik Abduh
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menganggap pihak yang mengaitkan beliau dengan kes penyaluran wang RM90 juta kepada pemimpin Pas dan melaporkan kepada SPRM sebagai ‘tersalah orang’.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat memberitahu, dalam pertemuan dengan pegawai SPRM selama lebih sejam di pejabat SPRM Kelantan, hari ini, beliau memberi kerjasama dengan menerangkan perkara sebenar.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga ahli politik yang dipanggil memberi keterangan kepada SPRM hari ini berhubung dakwaan wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1MDB.
Dua lagi individu yang dipanggil ialah Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa, dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.
Kerajaan usaha bawa pulang 47 rakyat M’sia dijel di Kemboja
Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Poi Pet, Kemboja dengan segera dan selamat, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Katanya setakat ini, kerajaan Kemboja memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan sejak 11 Dis lepas.
Katanya, usaha membawa pulang itu turut dilakukan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang memaklumkan 44 daripada 47 rakyat yang ditahan ialah anak muda Sarawak.
Operasi memadam kebakaran di Gunung Baling diteruskan
Operasi memadamkan kebakaran di Gunung Baling, yang terbakar sejak petang Rabu lepas diteruskan hari ini dengan kaedah ‘water bombing’ yang dilakukan menggunakan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, sehingga kini sebanyak tujuh atau lapan beg ‘water bombing’ telah dilepaskan dari udara ke lokasi kebakaran di gunung itu.
Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini yang turut dibantu lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain selain turut mendapat bantuan malim gunung.