- JPJ ‘ panas’ lagi
Agensi kerajaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) panas lagi.
Di Shah Alam, kali ini melibatkan sindiket lesen terbang yang kembali bermaharajalela di negara ini apabila menawarkan pakej lesen ‘gerenti’ lulus pada kadar bayaran antara RM500 hingga RM1,200 mengikut kelas.
Pendedahan Sinar Siasat minggu ini berdasarkan penyamaran dilakukan wartawan selepas mendapat maklumat daripada seorang sumber.
Namun apa yang mengejutkan modus operandi kumpulan sindiket itu sangat mudah apabila sekolah-sekolah memandu bersekongkol dengan menawarkan duit kopi kepada pegawai serta pemeriksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kata sumber itu, sekolah memandu akan mencari mangsa manakala pemeriksa JPJ akan meluluskan ujian memandu calon walaupun melakukan pelbagai kesalahan sewaktu ujian.
Difahamkankan, bagi mengelak kegiatan mereka dijejak pihak berkuasa, sindiket itu mensyaratkan semula calon mengikuti semua prosedur memohon lesen termasuk menghadiri kelas dan ujian memandu.2. Rakyat kembali sokong UMNO: Lokman Noor Adam
Memasuki tahun kedua UMNO menjadi pembangkang, sokongan rakyat khususnya kaum Melayu Bumiputera dilihat kembali semula kepada parti tersebut.
Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas juga menjadi sebab parti itu kembali mendapat sokongan Melayu dan India.
Beliau berkata, Dianggarkan peratusan sokongan kaum Melayu kepada dua parti itu adalah 70 hingga 80 peratus setakat ini dan mereka hanya perlu tarik sikit sahaja lagi iaitu dalam 20 peratus untuk turut menyokong UMNO dan Pas. Selain sokongan India juga semakin bertambah.
Lokman berkata, sokongan kaum Cina ketika ini masih kuat bersama kerajaan Pakatan harapan selesa mendapat pelbagai keistimewan dan kelebihan yang diberikan barisan pimpinan kerajaan yang ramai daripada mereka, adalah berbangsa Cina.3. Gadis dibakar gara-gara tolak pinangan
Polis Pakistan dilaporkan menahan seorang lelaki yang disyaki cuba membunuh seorang gadis berusia 16 tahun kerana menolak pinangannya.
Dalam kejadian di daerah Muzaffargarh, ibu mangsa dikejutkan dengan jeritan anak perempuannya pada jam 1.30 pagi.
Si ibu mendakwa ternampak dua orang lelaki melarikan diri setelah menyimbah minyak ke tubuh anaknya lalu membakarnya.
Menurut wanita itu, suspek dan rakannya berniat membunuh anak gadisnya ekoran menolak pinangan yang dirancang oleh ibu bapa suspek.4. CUEPACS harap kerajaan beri bonus sebelum Aidilfitri
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya pemberian bonus raya kepada penjawat awam dan pesara kali ini diberikan sebelum sambutan Aidilfitri.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menghantar surat kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan agar pemberian bantuan khas itu menjadi kenyataan.
Beliau berkata pihaknya memohon agar setiap penjawat awam diberikan bonus RM1,000, manakala bagi pesara RM500, dan menurutnya bantuan khas itu dijangka membabitkan jumlah lebih RM1 bilion.
Tambah beliau, sebelum ini hanya mereka yang Gred 41 ke bawah sahaja layak dan kali ini mereka tidak mahu ada sekatan, di mana semua Gred 54 ke bawah seharusnya layak menerima bonus.5. Perpustakaan di Australia kecoh gara-gara durian
Ratusan pelajar diarah keluar dari sebuah perpustakaan di bandar Canberra, Australia ekoran kekecohan yang disebabkan bau buah durian.
Dalam kejadian Jumaat lalu, pasukan bomba dikejarkan ke perpustakaan Universiti Canberra setelah menerima laporan bau gas yang kuat pada kira-kira jam 2.30 petang (waktu tempatan).
Seramai 550 orang dibawa keluar dari bangunan tersebut dalam masa kurang enam minit sementara pasukan bomba mengesan punca bau.
Pihak bomba dilaporkan berjaya mengesan punca bau selepas pemeriksaan rapi dilakukan selama satu jam.
Katanya menerusi laman Facebook, bau yang diduga sebagai kebocoran gas ternyata adalah bau sisa buah durian yang dibuang ke dalam tong sampah.