1. Kerajaan belum putus kaedah kurangkan kadar tol: Dr Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kaedah mengurangkan kadar tol.
Mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan mampu mengurangkan kadar tol sehingga 25 peratus, beliau berkata terdapat beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk mengambil alih konsesi lebuh raya tetapi kadar yang boleh dikurangkan tidak sampai 25 peratus.
Beliau berkata, kerajaan sekarang menghadapi masalah. Walaupun sudah berjanji untuk menghapuskan tol namun sekiranya tol dihapuskan tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali
Bersetuju dengan pendapat Daim bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan akan meningkat jika kadar tol dapat dikurangkan, Dr Mahathir berkata: “Rakyat akan berasa lega tak perlu bayar tol tetapi kerajaan akan rasa tak lega kerana tol akan dibayar oleh kerajaan.
2. Pakar sifatkan arahan tarik diri mungkin untuk elak konflik
Arahan supaya peguam Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor menarik diri daripada mengendalikan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan untuk elak konflik antara pihak pendakwaan dan berkepentingan.
Pakar Perlembagaan dan Pengamal Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana kedua-dua pihak yang ingin mencari keadilan itu adalah mewakili kerajaan.
Menurutnya, sekiranya konflik itu tidak diatasi, kemungkinan akan mengakibatkan keputusan akhir yang akan diperolehi menerusi inkues itu tidak sama.
3. Kebakaran hutan di Israel angkara pendatang Yahudi
Sejak awal minggu lalu pihak berkuasa Israel berulang kali menuduh kebakaran hutan yang melanda wilayahnya akibat perbuatan penduduk Palestin.
Bagaimanapun, tuduhan liar itu disangkal kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem yang mempunyai bukti rakaman video kejadian kebakaran tersebut sebenarnya dicetuskan pendatang Yahudi.Menerusi rakaman itu, sekumpulan pendatang haram Yahudi dapat dilihat menyalakan api di tiga buah kampung di Tebing Barat.
Lebih mengejutkan, kehadiran mereka turut diiringi tentera Israel yang tidak melakukan sebarang tindakan bagi menghalang pendatang terbabit menyalakan api.
4. Tudung bawal RM50,000, paling mahal di dunia
Syarikat hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive memperagakan tudung paling mahal yang pernah dihasilkan di dunia bernilai RM50,000 di Kuala Lumpur malam semalam.
Menurut pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, tudung paling mahal di dunia itu menjadi milik seorang ahli perniagaan dari Kuantan berusia 35 tahun yang menempahnya melalui butik premium, ByQiss by Bawal Exclusive di Pahang.Katanya, kejayaan penghasilan tudung tersebut sekali gus memadamkan rekod jualan sehelai tudung mereka sebelum ini bernilai RM33,000 oleh seorang wanita dari Kelantan pada tahun lalu.
5. Pengasas Huawei enggan balas dendam terhadap Apple
Pengasas Huawei, Ren Zhengfei menolak tindakan balas dendam terhadap Apple Inc selepas syarikat telekomunikasi terkemuka di China itu disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, Apple adalah ‘guru’ beliau. Sebagai ‘pelajar’ bagaimana beliau mahu menentang ‘guru’?Beliau turut menjelaskan sekatan eksport yang dikenakan pentadbiran Presiden Donald Trump akan menjadi penghalang kepada Huawei yang telah maju dua tahun ke depan berbanding pesaing mereka.