Kes bunuh: Bapa Zulfarhan sujud syukur mahkamah arah 18 pelajar UPNM bela diri
Sujud syukur dan tangisan hiba seorang ayah yang memperjuangkan keadilan untuk Allahyarham anaknya yang mati dipercayai dibunuh bergema di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Selepas dua tahun, mahkamah memutuskan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain untuk membela diri.
Zulkarnain Idrus menzahirkan rasa syukur dengan secara spontan melakukan sujud sebaik sahaja keluar dari bilik Mahkamah Jenayah Seksyen hari ini.
Manakala Ibu mangsa, Hawa Osman turut tidak dapat menahan sebak dan mengharapkan kesemua tertuduh mendapat hukuman yang setimpal.
Media sebelum ini melaporkan Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.
Tak sempat ambil pakaian istiadat punca Najib tak hadir hari pertabalan Agong
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan ketidakhadirannya pada upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam bukan kerana kekeliruan tempat duduk seperti yang dikatakan, tetapi kerana tempat duduknya telah ditukar pada saat-saat akhir.
Kata Najib, beliau menerima panggilan pada jam 6:30 pagi hari yang sama bahawa tempat duduk ditukar ke tempat duduk Orang Besar Pahang yang memerlukannya mengambil pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang yang menurutnya, berada di Pekan.
Memandangkan sudah tidak sempat untuk mengambil pakaian tersebut, menyebbakan beliau tidak hadir ke hari Pertabalan Agong.
Istiadat pertabalan yang berlangsung semalam adalah bagi menabalkan secara rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Azmin gagal pikul amanah, dinasihatkan letak jawatan
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan melepaskan jawatannya kerana gagal memikul amanah dengan baik apabila tidak menghadiri mesyuarat tertinggi parti sejak November 2018.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tanjong Malim, Muhamad Alif Asyraf berkata, ketidakhadiran Mohamed Azmin ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sejak November lepas seperti didedahkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan satu pelanggaran disiplin yang tidak seharusnya berlaku.
Katanya, tindakan itu menunjukkan Mohamed Azmin tidak lagi meletakkan organisasi PKR sebagai yang perlu beliau utamakan.
Kata Muhamad Alif lagi, sikap acuh tidak acuh terhadap mesyuarat ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi kerana memberikan teladan amat tidak baik kepada ahli parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia tak usir Zakir Naik kerana negara lain tak terimanya
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tiada pilihan kecuali membenarkan Dr Zakir Naik tinggal di Malaysia kerana negara lain tidak mahu menerima pendakwah kontroversi itu yang diburu pihak berkuasa India.
Pihak berkuasa India memfailkan pertuduhan pengubahan wang terhadap Zakir yang diberikan status penduduk tetap di Malaysia.
Pada 2 Mei lalu, Direktorat Penguatkuasaan (ED) India memfailkan pertuduhan pengubahan wang ke atas Naik tanpa kehadirannya di mahkamah kerana memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).
Putrajaya menolak permohonan India untuk mengekstradisi Zakir ke negara itu dan Mahathir mempersoalkan jika beliau akan mendapat perbicaraan adil.
Zakir menafikan dakwaan itu, tetapi menyuarakan kesediaan untuk berdepan pertuduhan dan mahu New Delhi memberi jaminan tidak akan menahannya sehingga beliau didapati bersalah.
Dadah: Sofi Jikan ke penjara
Pelakon filem, Sofi Jikan dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didapati bersalah menggunakan dadahpada Februari tahun lalu.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memerintahkan Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Bagaimanapun Sofi Jikan,49, dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut dengan syarat perlu memfailkan permohonan notis rayuan sebelum jam 4 petang ini.
Pada 13 Februari 2018, Sofi Jikan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jayajam 11.15 malam, pada 6 Februari 2018.