Lebih 60 peratus Melayu tidak puas hati prestasi kerajaan
Hasil kajian Ilham Centre bersama Penang Institute mendapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan selepas hampir 10 bulan mengambil alih pentadbiran negara.
Kajian itu turut mendapati kebanyakan rakyat tidak mempercayai kerajaan baharu itu serius untuk mempertahankan ‘Agenda Melayu dan Islam’ selaku agama rasmi di negara ini.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dijalankan dalam bentuk tinjauan secara rentasan ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, antara faktor menyumbang kepada peratusan itu ialah rakyat kurang yakin dengan kemampuan kerajaan mempertahankan hak mereka.
Isu Yadim: Kesabaran Melayu ada hadnya, kata Pas
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof bahawa umat Islam tidak gentar dengan amaran beliau agar jangan terus mempertikaikan lantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Katanya, Mujahid perlu ingat majoriti rakyat di Malaysia adalah kaum Melayu-Islam, yang pantang diusik sekiranya kepentingan agama dan bangsa mereka dicabar.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Mujahid yang memberi amaran kepada pihak yang berterusan mempertikaikan lantikan, Adun DAP, Sheikh Omar Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yadim.
Menteri bincang dengan polis, batal diskaun saman
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan pertemuan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu diskaun saman trafik.
Anthony Loke berkata, perbincangan itu akan diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Anthony Loke mengulas mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dilaporkan berkata, PDRM tidak dapat mengumpul hasil saman sekiranya kerajaan menamatkan diskaun saman berikutan tidak ramai orang yang berminat membayarnya.
Selasa lepas, Anthony Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lalu lintas.
Malaysia bayar kos tangguh projek HSR pada Singapura
Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Dalam satu kenyataan, jurucakap kementerian itu berkata republik tersebut telah “mendapat pengesahan daripada Kerajaan Malaysia menerusi koresponden diplomatik” mengenai pembayaran itu.
Pada 5 September 2018, Singapura telah bersetuju menggantung pembinaan projek itu sehingga akhir Mei 2020.
Susulan permohonan Malaysia itu, kerajaan telah bersetuju membayar kos penangguhan sebanyak S$15 juta dolar Singapura kepada kerajaan Singapura sebelum 31 Januari 2019.
Justo terima RM8.2 juta dari The Edge
Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong dilaporkan menyerahkan wang berjumlah RM8.2 juta kepada Xavier Andre Justo atas ‘jasa’ beliau mendedahkan skandal 1MDB.
Memetik laporan The Edge, sumbangan itu diserahkan ketika Justo bersama isteri dan anaknya melawat pejabat syarikat akhbar itu di mana mereka turut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Ho Kay Tat.
Penyerahan itu atas penghargaan terhadap sumbangannya kepada Malaysia dalam mendedahkan kleptokrasi dilakukan kerajaan sebelum ini.
Menurutnya, tanpa Justo, salah laku melibatkan 1MDB seperti yang didedahkan The Edge tidak akan tersebar.