LHDN tuntut RM1.5 bilion cukai pendapatan daripada Najib
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan tambahan RM1.5 bilion tuntutan bayaran cukai terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal mengisytiharkan pendapatan bercukai berjumlah RM4 bilion, termasuk RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB, lapor The Edge Financial Daily.
Memetik sumber, akhbar itu berkata cukai itu bagi tempoh 2011-2017 dan pihak berkuasa cukai sudah menghantar surat kepada Najib memaklumkan jumlah yang perlu dibayar, dua minggu lalu.
Tahun lalu, Najib mengakui bahawa beliau tidak mengisytiharkan sumber RM2.6 bilion yang berakhir dalam akaun banknya, yang didakwa daripada 1MDB.
Sebelum ini Najib dilaporkan berkata beliau menganggap wang itu “derma” yang daripada Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi setelah memberi jaminan sokongannya.
The Edge juga memetik pakar cukai mengatakan derma tertakluk kepada cukai pendapatan, dan Najib melakukan kesalahan dengan tidak mengisytiharkan RM2.6 bilion sebagai pendapatannya, tanpa mengira sumbernya.
Kes siar secara langsung: Rakyat boleh tahu berapa banyak duit Najib ‘rompak’
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyiaran secara langsung kes perbicaraan mahkamah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kebaikan.
Anwar berkata, dengan siaran langsung itu rakyat dapat mengetahui jumlah wang negara yang telah “dirompak”.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau menyerahkan keputusan itu kepada mahkamah.
Sebelum ini, warganet melakukan petisyen yang bermula di change.org agar perbicaraan itu disiar secara langsung.
Cadangan itu turut disokong oleh Najib yang merasakan ia akan membantu perbicaraannya berjalan dengan telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang.
Naik taraf Klinik Kesihatan Rantau alami kekangan: Tok Mat
Calon Barisan Nasional mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbirannya sebelum ini mengalami kekangan bagi menaik taraf klinik kesihatan di kawasan DUN Rantau.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya sudahpun mencari tapak bagi pembinaan Klinik Kesihatan Rantau untuk menggantikan klinik sedia ada yang memerlukan pembesaran dan penambahbaikan.
Katanya dulu di kawasan tapak asal klinik Rantau tidak mempunyai tanah yang membolehkan projek pembesaran dilakukan, sehubungan itu katanya, kelulusan pembesaran tersebut dibawa ke klinik Lenggeng.
Veteran tentera akan terima RM500 menjelang raya
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini mengumumkan Putrajaya akan memberikan pembayaran insentif RM500 kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Mohamad, pemberian secara sekali sahaja itu akan diberikan menjelang hari raya Aidilfitri melibatkan seramai 159,368 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.
Kata beliau, peruntukkan tersebut melibatkan lebih RM79.68 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Permohonannya akan dibuka bermula 14 April 2019 dan pembayaran akan dilakukan pada 27 Mei 2019.
Wanita Vietnam dipenjara 40 bulan cederakan Kim Jong Nam
Wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, dijatuhi hukuman tiga tahun dan empat bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi, hari ini atas pertuduhan alternatif menyebabkan kecederaan kepada abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam menggunakan bahan berbahaya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.
Terdahulu, pertuduhan terhadap Doan, 30, yang sebelum ini didakwa membunuh Kim Chol dipinda kepada tuduhan yang lebih ringan iaitu mencederakan lelaki itu.
Dia didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu racun VX.