MIC, MCA, jangan bertindak melulu: Tok Mat
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata susulan keputusan MCA dan MIC yang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN.
Katanya, ini kerana hubungan dan kerjasama semua parti komponen yang membentuk BN tidak terbentuk sehari dua dan pelbagai rintangan serta cabaran diharungi bersama sejak sebelum kemerdekaan.
Katanya, sudah terlalu banyak kejayaan dikecapi hasil persefahaman serta permuafakatan penuh rasa hormat ini. Saya berani katakan bahawa ahli-ahli dan pemimpin parti-parti komponen sudah mengenali hati budi masing-masing.
Oleh yang demikian, adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata. Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anwar: PKR ada berbelas nama calon PRK Rantau
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata partinya belum memutuskan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau daripada berbelas nama yang telah dicadangkan.
Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu akan berbincang lebih lanjut mengenai kesemua cadangan nama tersebut pada mesyuarat Biro Politik PKR yang dijangka dalam masa terdekat.
PRK DUN Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.
Tutup anak syarikat Terengganu tak aktif langkah tepat
Langkah kerajaan negeri untuk menutup hampir 50 anak syarikat miliknya yang dikatakan tidak aktif adalah tepat.
Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, isu itu sebenarnya sudah lama dan beliau sendiri telah berkali-kali mengutarakan isu itu di DUN Terengganu ketika awal tahun 1990-an.
Susulan keputusan itu, kerajaan negeri mampu menjimatkan ratusan ribu ringgit sehingga jutaan ringgit setahun sekiranya langkah penutupan syarikat-syarikat ini dapat dilaksanakan
Namun katanya, kerajaan negeri diminta agar dapat mempertimbangkan untuk memberi peluang sekiranya ada syarikat-syarikat tempatan yang berminat untuk mengambil alih anak-anak syarikat yang tidak aktif itu.
Kemarau jejas 8 kampung di Kota Belud
Kemarau yang berlaku sejak hampir sebulan lalu menjejaskan lapan kampung di daerah itu, kata Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam.
Beliau berkata, kampung terbabit ialah Kampung Puhus, Tobur Kelawat, Piasau, Gaur, Ambong, Dallas, Timbang Manggaris dan Pekan Nabalu.
Katanya, setakat ini, bantuan bekalan air bersih disalurkan kepada empat kampung iaitu Puhus, Tobur Kelawat, Piasau dan Gaur membabitkan 823 ketua keluarga atau jumlah rumah.
Abdul Gari berkata, kampung pertama terjejas pada 1 Mac lalu adalah Puhus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang bergantung sepenuhnya kepada air graviti.
Pada 28 Februari lalu, Pejabat Daerah Kota Belud mengisytiharkan bencana alam kemarau di daerah ini selepas cuaca panas berpanjangan tanpa hujan sejak tiga minggu lalu.
Ikan kering dipijak, dijilat anjing di Langkawi
Kotor dan menjijikkan. Itu keadaan sebuah premis di satu lokasi di Langkawi yang didapati menjemur ikan kering di atas lantai dengan kira-kira enam ekor anjing dilihat berlegar-legar sambil memijak makanan tersebut.
Lebih menjijikkan apabila haiwan itu turut menjilat dan makan ikan kering yang dijemur tanpa sebarang pengawasan.
Difahamkan, kawasan berkenaan merupakan antara lokasi memproses ikan dan udang kering serta ikan bilis di pulau peranginan terkenal itu.
Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Melayu Kawasan Utara, Che Johan Che Hassan berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa kerana ia melibatkan isu kebersihan makanan terutama dalam kalangan orang Islam.