1. Pakatan Harapan tetap pertahan prinsip Islam, Melayu: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, Pakatan Harapan (PH) tetap mempertahankan prinsip Islam dan Melayu serta berjuang bersungguh-sungguh untuk mewakili seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Tambahnya lagi, ada pihak tertentu menyatakan kononnya PH seolah-olah cuai dan longgar pendekatannya dalam hal Islam dan Melayu.
Anwar berkata, apa yang menjadi keutamaan dalam perjuangan PKR dan PH pada ketika ini adalah ketegasan untuk menolak rasuah dan penyelewengan.
Menyentuh masa depan PKR, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata parti itu mesti membuktikan agenda mereformasi negara menjadi fokus utama dan matlamat nasional.
2. PRK Parlimen Sandakan 11 Mei
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Sabah pada 11 Mei ini.
Penamaan calon ditetapkan pada 27 April dan mengundi awal pada 7 Mei, sekali gus menyaksikan enam hari tempoh berkempen dan hari pengundian berlangsung dalam bulan puasa.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata seramai 40,131 pemilih layak mengundi mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu.
Azhar berkata, SPR bersetuju melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain, sebagai Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, manakala kos PRK itu dianggarkan RM3.1 juta.
3. Kerajaan ambil langkah tepat isu Tabung Haji
Kerajaan mengambil langkah tepat apabila melaksanakan pelan rasionalisasi ke atas Tabung Haji (TH) kerana ia mampu memberikan situasi menang-menang kepada pendeposit dan institusi itu.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Zaini Abd Karim, berkata penting bagi kerajaan menyalurkan pemberian hibah bagi memastikan 9.3 juta pendeposit TH terus meletakkan keyakinan pada institusi itu.
Beliau berkata, melalui pelan rasionalisasi dilaksanakan pengurusan baharu itu, TH boleh kembali stabil apabila memindahkan aset secara sementara kepada Bank Negara yang berfungsi sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) sebelum dipindahkan semula ke TH apabila ia kembali pulih.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segera kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi ke atas TH membolehkan ia memberi hibah kepada pendepositnya tahun ini walaupun tidak pada kadar setinggi sebelumnya.
4. Lebih 100 bayi dibuang setiap tahun di Malaysia
Bayi yang baru lahir dibuang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan orang ramai turut melahirkan rasa marah terhadap perbuatan yang tidak berperikemanusian itu.
Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan lebih daripada 100 orang bayi dibuang setiap tahun di Malaysia.
Kebanyakan bayi itu dibuang di dalam timbunan sampah dengan 60 peratus daripadanya mungkin sudah tidak bernyawa lagi apabila dijumpai kerana disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang atau terbakar sehingga tidak dapat dikenali.
Menurut laporan media, purata 18,000 gadis belasan tahun di Malaysia hamil setiap tahun.
Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes melibatkan kehamilan di luar ikatan perkahwinan.
OrphanCare Foundation yang berpejabat di Petaling Jaya bekerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengendalikan tiga pusat perlindungan bayi dan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk kaunseling dan mengatur keluarga angkat.
5. Bos Amazon catat rekod perceraian termahal
Lelaki terkaya di dunia, Jeff Bezos yang juga pemilik Amazon dan bekas isteri Mackenzie, mencatat record penceraian termahal, berjumlah 35 Billion Dollar US @ RM143 billion.
Mackenzie 48, dilaporkan akan mengekalkan empat peratus pegangan saham dalm firma perniagaan runcit atas talian yang diasaskan Bezos, 25 tahun lalu.
Bezos, 55 pula kekal menguasai pegangan saham terbesar Amazon, selain itu Mackenzie turut melepaskan kepentinganya dalam akhbar Washington Post dan agensi pelancongan angkasa lepas, Blue Origin kepada bekas suaminya itu.
Menurut majalah Forbes, penceraian tersebut menjadikan Mackenzie wanita ketiga terkaya di dunia selepas pewaris L’Oreal, Francoise Bettencourt Mayers dan Alice Walton, pewaris perniagaan Walmart.