Petani kena potong bantuan tapi menteri menangis: Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meragui keikhlasan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang menangis selepas membaca warkah rintihan seorang petani semalam.
Najib berkata, apa yang dilakukan oleh Salahuddin itu sama seperti menteri Kabinet lain yang berusaha untuk meraih sokongan rakyat seolah-olah mahu meraih anugerah ‘Pelakon Terbaik’.
“Yang kena potong bantuan, petani. Tapi yang menangis atas pentas, Menteri. Salah baca skrip ke apa?,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Semalam, sepucuk warkah yang dititipkan seorang petani dari Sungai Besar, Ibas Hamud menjentik jiwa Salahuddin sehingga membuatkn menteri itu menangis di atas pentas.
Surat itu meluahkan isi hati petani yang kecewa apabila elaun sara hidup dan subsidi kerajaan kepada golongan berkenaan dipotong.
Dr Mahathir sahkan Bersatu masuk Sabah
Bersatu mengesahkan akan tetap memasuki Sabah meskipun keputusan itu tidak disenangi rakan sekutunya, Warisan.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya bukan mahu menukar kerajaan negeri sebaliknya mahu mengukuhkan lagi kerajaan dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal itu.
Sebelum ini, Shafie yang juga Presiden Warisan menegaskan Bersatu perlu terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah seperti dipersetujui sebelum PRU14.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata keputusan dicapai Bersatu itu tidak perlu mendapat persetujuan atau dilaporkan kepada rakan-rakan komponen.
Pas anggap rakaman suara Nik Abduh isu kecil
Pas menganggap isu rakaman suara anggota jawatankuasa pusatnya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung penerimaan dana daripada UMNO sebagai isu kecil.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, Pas menganggap isu dana RM90 juta yang didakwa diterima daripada UMNO itu telah selesai selepas semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun rasmi parti mendapati dana tersebut tidak wujud.
Menurutnya, Pas berterima kasih kepada SPRM yang membersihkan isu itu melalui siasatan dan ternyata ia fitnah dan satu pembohongan kerana Pas tidak terlibat dengan isu tersebut.
Sebelum ini, sebuah portal berita yang memetik sumber SPRM melaporkan siasatan badan itu mendapati tiada dana daripada 1MDB disalurkan ke akaun rasmi Pas.
Polis tidak patut terima tajaan syarikat luar: Musa
Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata polis sepatutnya tidak lagi menerima tajaan daripada syarikat luar pada masa akan datang.
Bekas ketua polis negara itu berkata sebagai respons terhadap isu sebuah syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan lawatan kerja diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki baru-baru ini.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Musa berkata, wujud kepentingan dalam isu ini kerana syarikat yang menaja lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan perjudian yang lesennya diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Menurutnya, kawalan aktiviti perjudian dikuatkuasakan pihak polis namun adalah tidak wajar PDRM menerima tajaan itu.
Pas gerak jentera bantu BN di Semenyih
Pas mengulangi pendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan BN pada PRK Semenyih yang akan diadakan bulan depan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu akan menggerakkan jenteranya dan memberi sokongan kepada calon BN.
Tuan Ibrahim berkata, gerak kerja dan komitmen yang akan dilakukan sama seperti PRK Cameron Highlands.
Menurutnya, BN mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK DUN Semenyih berdasarkan gelombang sokongan pengundi ketika ini.