1. PH gagal tunai janji wujud peluang pekerjaan
Salah satu kegagalan terbesar kerajaan Pakatan Harapan ialah gagal mewujudkan peluang pekerjaan seperti mana yang terkandung dalam manifesto.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, berbanding semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebanyak 3.6 peratus peluang pekerjaan pada tahun 2018 diwujudkan.
Beliau berkata jangan lupa akan jasa terbesar kerajaan BN untuk membantu graduan lepasan universiti dengan mewujudkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dengan elaun bulanan sebanyak RM2,000.
Tegasnya, manifesto PH khasnya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah retorik politik semata-mata untuk mewujudkan peluang pekerjaan kerana kadar pengangguran semakin meningkat dan golongan belia paling teruk terkesan.
2. Anwar gesa semua pihak terima pelantikan Latheefa Koya
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak untuk menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelas beliau, pelantikan Latheefa telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH), badan bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Katanya, polemik terbuka secara berterusan itu dikhuatiri akan mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej Kerajaan Pakatan Harapan.
Katanya beliau yakin bahawa Dr Mahathir dan pimpinan Pakatan Harapan akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya akan menjelaskan kepada Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
3. Ahli Lembaga Pengarah SRC lawat bank di Switzerland: Saksi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, diberitahu bahawa semua Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd membuat lawatan ke sebuah bank di Lugano, Switzerland untuk memastikan dana milik syarikat itu disimpan dengan selamat, pada September 2013.
Bekas ahli lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail berkata, seluruh ahli lembaga pengarah syarikat itu pergi ke ibu pejabat Bank BSI Limited, yang kini dikenali sebagai EFG International di Lugano, Switzerland untuk memastikan dana yang disimpan masih ada di bank.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
4. Letak jawatan tak setuju cara pengurusan kewangan SRC International: Saksi
Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, bahawa beliau meletak jawatan dalam SRC International Sdn Bhd kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan akaun dan kewangan syarikat yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ismee, 54, yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC International, ketika membacakan penyataan saksi berkata, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan dalam syarikat itu pada 6 Mei 2014 dan peletakan jawatannya secara rasmi ialah pada 15 Ogos 2014.
Tambah beliau, bagi SRC International, sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapat nasihat daripada Advisor Emeritus syarikat berkenaan iaitu Najib.
5. Tenun Pahang Diraja ilham Tunku Azizah untuk Istiadat Pertabalan Agong
Kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Kain tenun itu adalah sentuhan rekaan diilhamkan baginda dan ia bertambah unik dan istimewa kerana tenunan khas itu adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah semalam berkenan menerima persembahan hasil kain tenunan berkenaan di Istana Negara, termasuk empat pasang tenunan khas sebagai persalinan Raja Permaisuri Agong pada istiadat pertabalan itu nanti.