1. PH yakin pulihkan ekonomi negara: Azmin
Berdasarkan teras akauntabiliti dan integriti yang diamalkan, kerajaan Pakatan Harapan (PH), yakin mampu memulihkan ekonomi negara.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan juga dilihat berkebolehan memberikan satu tenaga baharu kepada negara supaya Malaysia bangkit semula sebagai Harimau Asia.
“Rumusan daripada ucapan perutusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, kita lihat bahawa beliau cuba untuk memberikan definisi Malaysia Baharu.
“Malaysia Baharu ini merupakan sebuah pentadbiran kerajaan baharu yang berteraskan prinsip akauntabiliti, integriti, dan peduli rakyat,”.
Katanya, tujuh teras strategik yang diumumkan juga mampu menjamin bahawa semua rakyat bakal memperoleh pengagihan kekayaan negara secara adil.
“Setelah sekian lama negara memiliki hasil-hasil yang mewah tapi ia tidak dikongsi secara adil dengan rakyat yang berada di bawah khususnya rakyat yang berada di luar bandar.
“Usaha ini akan berterusan dan kita memberi jaminan bahawa Malaysia baharu akan menjamin kemakmuran bersama di masa akan datang,”.
2. Hanya 20 peratus anggota, pegawai bomba dibenar cuti Aidilfitri
Jabatan Bomba dan Penyelamat membenarkan 20 peratus daripada lebih 14,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata seperti tahun terdahulu, anggota selebihnya akan bertugas pada musim perayaan ini berdasarkan syif kerja ditetapkan.
“Seperti kebiasaan JPBM tidak berikan cuti lebih daripada 20 peratus, bermakna pegawai dan anggota yang telah bercuti tahun lepas tidak boleh bercuti tahun pada ini.
“Beliau juga menambah, akan mengadakan rondaan di lokasi-lokasi tertentu selain mempergiatkan lebih banyak kempen tentang keselamatan terutama sekali berkenaan kebakaran sempena musim perayaan ini,”
Mohammad Hamdan berkata, pegawai kanan yang pulang bercuti di kawasan kampung halaman masing-masing juga perlu singgah ke balai bomba terdekat bagi memberikan motivasi buat anggota yang bertugas selain menyemarakkan suasana perayaan.
3. Cubaan letupkan mesin ATM gagal
Sebuah mesin pengeluaran wang (ATM)bank di Wisma UNIKEB berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cuba dipecahkan menggunakan bahan letupan, malam tadi.
Bagaimanapun, dua lelaki suspek gagal melarikan wang tunai, apabila letupan itu tidak mampu memecahkan pintu besi kedua mesin ATM terbabit.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggota polis bantuan pada jam 8.07 malam.
“Kejadian berlaku kira-kira pada jam 7.53 malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank terbabit.
“Menerusi rakaman itu didapati dua lelaki memakai topeng muka cuba memecahkan sebuah mesin ATM dipercayai menggunakan bahan letupan.
Dzaffir berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Unit Pemusnah Bom bagi mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan.
4. Waktu berbuka puasa di Burj Khalifa berbeza ikut tingkat
Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal di Emiriah Arab Bersatu (UAE), meminta semua penduduk di Burj Khalifa setinggi 163 tingkat dan bangunan pencakar langit lain, untuk mengambil perhatian terhadap perbezaan waktu berbuka puasa yang bergantung kepada tingkat kediaman mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, penduduk yang tinggal di bangunan pencakar langit di Dubai perlu menunggu enam minit lebih lama, untuk berbuka berbanding mereka yang menetap di kawasan lain.
Jabatan tersebut mengeluarkan pekeliling menetapkan tempoh berpuasa penduduk yang tinggal antara tingkat 60 dan aras 120 adalah empat minit lebih lama berbanding kawasan lain di Dubai.
“Mereka yang tinggal di tingkat 121 dan ke atas pula perlu berpuasa enam minit lebih lama manakala waktu solat subuh adalah tiga minit lebih awal,”.
Menurut ahli astrofizik terkenal, Neil deGrasse Tyson menerusi thenational.ae yang dikeluarkan kelmarin, waktu berbuka puasa unik di Burj Khalifa adalah kerana matahari terbenam agak lambat di tingkat paling atas menara yang menjadi kebanggaan di Dubai itu.
5. Beckham dilarang memandu enam bulan
Bekas kapten England, David Beckham dikenakan larangan memandu selama enam bulan, selepas didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta Bentley miliknya.
Mirror melaporkan, Beckham sebelum ini menyatakan pengakuan bersalah melalui pos dan diberi enam mata atas lesennya, di Mahkamah Majistret Bromley, yang mengakibatkan larangan memandu.
Beckham dituduh bulan lalu selepas orang awam melihatnya menggunakan telefon sambil memandu Bentley.
Beckham, 43, mengaku menggunakan peranti semasa memandu di Great Portland Street pada 21 November tahun lalu.