Rafizi ramal ‘perkahwinan’ UMNO Pas bakal terburai
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa kerjasama politik PAS-Umno yang bakal dimeterai menerusi Himpunan Penyatuan Ummah berlangsung mulai hari ini, tidak akan kekal lama.
Rafizi berkata Umno dan PAS melaungkan penyatuan ummah sedangkan mereka yang saling kafir-mengkafir dan memecahbelahkan ummah selepas kegagalan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam itu pada 1980-an.
Katanya, seperti juga perkahwinan Umno-PAS yang lepas, perkahwinan kali ini juga akan terburai. Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu, katanya menerusi kiriman Facebook hari ini.
Kata Rafizi, apabila strategi politik itu tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir-mengkafir seperti dulu.
PAS pernah menjalin kerjasama dengan Umno awal 1970-an namun tidak kekal. Ketika itu PAS menjatuh hukum Umno sebagai parti “kafir”.
Hanya orang gila talak ungkit kisah lama Pas, UMNO: Abdul Hadi
Pas menggambarkan pihak yang mengungkit kisah-kisah lama antara parti itu dengan UMNO sebagai individu gila talak kerana masing-masing bukan lagi ahli kedua-dua parti teras orang Melayu dan Islam itu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai ahli yang telah meninggalkan parti, maka tidak sepatutnya golongan tersebut mencampuri lagi urusan Pas atau UMNO yang langsung tidak berkaitan dengan mereka.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis meminta Abdul Hadi menarik balik kenyataan bahawa UMNO kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai Piagam Muafakat Nasional esok.
Dr. Mahathir dilaporkan berkata, Amanat Haji Hadi masih relevan, kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.
KPM jamin gabung UMT, UniSZA tidak berhentikan pensyarah
Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pengurangan pensyarah akibat penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menterinya Maszlee Malik berkata, dengan penggabungan berkenaan, pensyarah akan menjadi lebih dinamik, berdaya saing dan pelajar akan lebih berdaya saing dalam merebut peluang pekerjaan.
Katanya, tujuan penggabungan ini adakah untuk membentuk satu universiti di Terenganu yang akan menjadi rujukan antarabangsa dalam bidang maritim dan beberapa bidang yang lain. Setakat ini pencapaian UMT dan UniSZA belum melayakkan mereka untuk menjadi universiti rujukan antarabangsa.
Sebelum ini beberapa pihak menyuarakan bantahan berhubung penggabungan UMT dan UniSZA kerana ia bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu, malah khuatir penggabungan berkenaan akan melibatkan pengurangan tenaga kerja.
54 pengikut Syiah ditahan JAINJ termasuk warga Singapura
Seramai 54 individu dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah rumah agam di Taman Bukit Kempas Johor Bahru Isnin lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata, siasatan awal mendapati premis di Taman Bukit Kempas itu lokasi baharu kumpulan tersebut selepas Mount Austin.
Katanya daripada 54 yang ditahan, lapan adalah warga Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang dari Yaman.
Katanya, ketika serbuan pelbagai barangan disita termasuk kain rentang yang jelas menjadi elemen dan bukti wujudnya aktiviti Syiah selain nota serta kitab berkaitan ajaran fahaman itu.
Jerebu dijangka reda bulan depan
Jerebu yang berlaku di seluruh negara termasuk di Sarawak dan Sabah dijangka berakhir awal bulan depan iaitu ketika musim peralihan monsun iaitu selepas monsun barat daya berakhir.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata walaupun operasi pembenihan awan dilakukan sekarang, namun masalah jerebu tetap akan berlaku.
Beliau berkata, masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini akan kembali berikutan tiupan angin dari barat daya.
Beliau berkata, ketika peralihan monsun berlaku, biasanya kawasan pantai barat Semenanjung dan Sarawak akan menerima hujan lebih banyak, yang mana operasi pembenihan awan (OPA) tidak dapat dijalankan di kawasan Semenanjung berikutan faktor tidak sesuai.