Rakyat fikirkan kos sara hidup bukan politik: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebahagian rakyat Malaysia hanya memikirkan kos sara hidup berbanding perihal politik.
Menurutnya, rakyat akan lebih gembira sekiranya ahli politik memberi fokus untuk memperbaiki ekonomi negara.
Anwar berkata, rakyat lebih suka jika ahli politik memberi fokus kepada usaha memperbaiki ekonomi dan keadaan negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memberi bayangan rakyat akan menjatuhkan kerajaan sekiranya gagal menunaikan janji pilihan raya.
Tiada seorang pemimpin PH bertanya sendiri kepada Tun M
Pas mendakwa tiada seorang pun pemimpin utama Pakatan Harapan bertanyakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tujuan dokumen sokongan sekiranya berlaku pembelotan rakan dalam gabungan parti itu terhadapnya.
Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat seperti jaguh kampung dengan mendesak Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan bukti mengenai gerakan menjatuhkan Dr Mahathir.
Dalam satu sidang media semalam, Takiyuddin mendakwa dua parti komponen Pakatan Harapan mungkin merancang untuk menyingkiran Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Menurutnya, parti itu merasakan ada perkara tidak kena apabila Perdana menteri bercakap tentang rakan parti dalam Pakatan Harapan sebelum ini.
Dana RM90 juta: SPRM siasat penderma tetap dan kroni Pas
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penderma tetap dan kroni Pas berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.
The Malaysia Insight memetik sumber SPRM melaporkan, siasatan itu diperluaskan selepas tiada bukti sahih berlaku transaksi langsung antara dua parti itu atau antara ahli-ahlinya.
Kata sumber, siasatan itu mencakupi transaksi perbankan persendirian penyumbang tetap dana politik Pas dalam tempoh berkenaan.
Portal itu juga mendakwa beberapa ahli perniagaan serta orang kenamaan yang sering menderma kepada parti Islam itu kini dalam pemantauan dan siasatan SPRM.
Mengapa sikap rasis menjadi-jadi, tanya Asyraf Wajdi
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan mengapa di zaman kerajaan Pakatan Harapan, semakin menjadi-jadi sikap rasis dan tindakan penghinaan terhadap Islam.
Malah dakwanya, sekiranya kesalahan itu dilakukan terhadap bangsa tertentu pasti tindakan segera dilakukan oleh penguat kuasa.
Beliau berharap kerajaan tidak bersikap pilih kasih terhadap sesiapa yang memainkan sentimen perkauman dan penghinaan terhadap mana-mana agama sehingga mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Asyraf Wajdi turut mendesak polis agar segera bertindak terhadap pemilik laman sosial Facebook, Foo Sing Wai yang biadab menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui beberapa status yang dimuat naik.
NGO gesa pemilik FB hina Nabi dikenakan tindakan
Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang memuatnaik gambar menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, gesaan itu dibuat kepada polis kerana tindakan individu itu bukan sahaja menghina agama Islam malah boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara ini.
Amir Amsaa berkata, tindakan tegas tetap perlu diambil pihak berkuasa walaupun ada kemungkinan individu tersebut membuat permohonan maaf di Facebooknya.
Laporan polis turut dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya.