Rayuan kes rasuah Rosmah ditangguh kerana cuti sakit
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada hari lain untuk mendengar rayuan terhadap perbicaraan rasuahnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi kerana beliau sedang cuti sakit.
Panel 3 hakim yang dipengerusikan Abdul Rahman Sebli berkata, Rosmah sudah menyuarakan hasratnya untuk hadir di mahkamah hari ini.
Rahman berkata, Dr Syed Abdul Latiff Alsagoff dalam laporan perubatan yang ditandatanganinya menasihatkan Rosmah berehat di katil dan mengelak duduk untuk jangka panjang sehingga simptomnya reda.
Peguam Rosmah, Jagjit Singh memohon rayuan itu ditangguhkan kerana anak guamnya tidak sihat untuk hadir di mahkamah.
Jagjit yang dibantu Akbardin Abdul Kader, berkata Rosmah diberikan pengecualian menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi semalam kerana beliau sedang cuti sakit.
Saya akan sentiasa ikut nasihat mufti: Chris Lee
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, yang terpalit kontroversi pengagihan bantuan zakat beliau sebelum ini berdiam diri kerana tidak mahu memecahbelahkan rakyat Malaysia dalam isu itu.
Katanya sikap sesetengah orang yang suka mencari salah, tapi bukan hendak mempromosikan nilai-nilai bersama rakyat Malaysia yang menyatupadukan kita,” kata Lee kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun katanya, beliau menghormati pandangan mufti Pulau Pinang yang menyatakan bahawa berdasarkan fikah, harus untuk orang bukan Islam diwakilkan dalam hal berkaitan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.
Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan Pemuda Pas sebelum itu membidas tindakan Lee mengagihkan zakat di kawasannya di Pulau Pinang.
Najib sedih tak dapat hadir konvo anak
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkongsi rasa sedihnya kerana tidak dapat meraikan konvokesyen anak perempuannya Nooryana Najwa pada hari ini.
Nooryana pada hari ini menerima ijazah sarjananya di Universiti Harvard di Boston, AS.
Kata Najib, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghalangnya daripada ke luar negara, malah pergerakannya di Malaysia pun mengundang rasa tidak selesa kepada kerajaan sehingga membuat laporan polis .
Dalam catatannya, Najib meminta maaf pada Nooryana namun tidak lupa meluahkan rasa bangganya atas kejayaan anaknya itu.
Abang botak pecah cermin kereta beraya dalam lokap
Seorang pembantu stor yang digelar abang botak oleh warganet terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta.
Majistret, Nur Shahira Abdul Salim membuat keputusan itu terhadap Danial Abdullah Tan selepas menerima pengakuan salah tertuduh.
Hukuman pemenjaraan tersebut berkuatkuasa bermula dari tarikh tangkap iaitu semalam.
Danial,31, mengaku melakukan khianat terhadap Produa Alza milik Siew Chean Voon, 58, dengan cara mengetuk menggunakan topi keledar.
Ketika ditanya oleh Majistret punca dia bertindak sedemikian, Danial berkata, pemandu kenderaan itu hampir melanggarnya dua kali sehingga memaksanya menghimpit semula kereta tersebut.
Baby nanas jenama Dragon King tidak dieksport ke Malaysia
‘Baby nanas’ jenama Dragon King dari Thailand yang didakwa mengandungi siklamat seperti yang tular di laman sosial tidak dieksport ke Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara sejak 2017 hingga sekarang juga telah dipertingkatkan.
Beliau berkata, sebanyak 65 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter seperti bahan pemanis (termasuk siklamat), bahan pengawet dan residu pestisid.
Noor Hisham berkata, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), siklamat adalah pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali ganda lebih daripada gula sukrosa.
Katanya, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan.