Risalah ‘bossku pencuri’ mula disebar
Risalah provokasi mengkritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula disebarkan berhampiran sebuah pasar raya terkemuka sempena kempen PRK DUN Semenyih.
Risalah itu memaparkan karikatur seorang lelaki mirip Najib sedang menunggang motosikal dan ditulis perkataan ‘Malu apa bossku!’ di sebelahnya.
Dalam halaman sama, perkataan ‘pencuri, perompak, penyangak, penyamun’ dan ‘Malaysia jangan lupa!’ juga dicetak dalam risalah dua muka surat itu.
Dalam pada itu, hasil tinjauan juga mendapati terdapat satu banner provokasi digantung berhampiran kawasan tersebut.
Banner yang turut memaparkan logo Pakatan Harapan itu tertulis ‘Kita bukan pencuri’, ‘Kita bukan pembohong’ dan ‘Kita bukan perompak’ itu dipercayai merujuk kepada Najib dan kerajaan terdahulu.
Pendirian Pas mengelirukan, nak kucar-kacirkan PH?
Pendirian Pas yang bekerjasama dengan UMNO dan dalam masa menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agak mengelirukan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, ini kerana akar umbi Pas sudah boleh menerima kerjasama parti itu dengan UMNO yang ditunjukkan dalam beberapa PRK.
Namun, katanya, ia dikejutkan dengan kenyataan Pas bahawa parti itu turut menyokong pentadbiran Dr Mahathir.
Menurut Rusdi, Pas sepatutnya menunjukkan pendirian yang lebih konsisten.
Beliau tidak menolak kemungkinan tujuan Pas berjumpa Dr Mahathir adalah untuk mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan.
Siapa sebenarnya khianati Felda, soal Azmin
Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pemimpin UMNO mengkhianati Felda, bukan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau orang Cina.
Menurutnya, lawan menuduh Pakatan Harapan mengkhianati orang Melayu dan Felda namun hakikatnya UMNO yang berbuat demikian sehingga menyebabkan Felda bankrap.
Beliau berkata, Pakatan Harapan mendukung usaha Tun Abdul Razak membuka tanah kerajaan dan berikannya kepada peneroka Felda supaya boleh mengangkat ekonomi mereka.
Azmin turut mempersoalkan tindakan beberapa pihak yang menyalahkan DAP terutamanya dalam isu melibatkan Felda.
PH akan jadi perisai pelihara Perlembagaan: Muhyiddin
Pakatan Harapan akan sentiasa memelihara kepentingan orang Melayu, di samping melindungi kepentingan kaum lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan negara.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prinsip itu telah disepakati mereka, yang berikrar bahawa apa yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dilindungi dan dipelihara.
Menurutnya, selaras dengan prinsip itu Pakatan Harapan akan menjadi perisai untuk memelihara Perlembagaan negara.
Justeru beliau menangkis dakwaan pembangkang kononnya Pakatan Harapan kini dikuasai DAP dan tidak membela orang Melayu.
Menteri nafi 30,000 akan hilang kerja tahun ini
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menyangkal dakwaan oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bahawa kira-kira 30,000 orang akan kehilangan kerja tahun ini.
Menurutnya, terdapat banyak peluang pekerjaan yang tersedia apabila kurang daripada 24,000 pengangguran yang dicatatkan tahun lepas.
“Kadar pengangguran menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa, tiada apa yang menakutkan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan menganggarkan 30,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini memandangkan peningkatan kos menjalankan perniagaan sebagai faktor utama jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat.