SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan dakwaan lantikan wakil rakyat DAP dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bermotifkan politik.
Menurutnya, kesemua lantikan dibuat selepas menilai kebolehan, kemampuan dan amanah.
“Lantikan itu bukan sebab politik semata-mata tapi siapa yang layak saya berikan kedudukan.
“Mereka ada pengalaman dalam NGO, peringkat antabangsa, ilmu agamanya. Saya tak pandang parti tapi kebolehan. Semua ada kredibiliti,” katanya ketika Bicara Minda di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Sebelum ini lantikan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai lembaga pemegang amanah Yadim dikritik pelbagai pihak.
Yadim merupakan badan penyebaran dakwah serta menyelaras segala kegiatan badan-badan dakwah yang kini dipimpin Nik Omar Nik Abdul Aziz.