Sultan Pahang dipilih Agong Ke-16
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah, hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.
Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.
Mesyuarat terbabit turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.
Rosmah dakwa ada cubaan percepatkan kes rasuahnya
Isteri bekas Perdana Menteri Rosmah Mansor memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa terdapat percubaan untuk mempercepatkan kes Projek Tenaga Solar yang dihadapinya.
Perkara itu dinyatakan oleh peguam mewakili Rosmah, Akhberdin Abdul Kader, ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika proses pengurusan kes hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya perlu mengkaji semula semua 370 halaman dokumen berkaitan tuduhan itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah bahawa prosiding pada hari ini hanya melibatkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sahaja dan prosiding ini tidak melibatkan permohonan perbicaraan bersama.
Najib tanya mana pejuang Felda yang sembang kencang
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan ke mana hilangnya pejuang Felda yang lantang ketika BN menerajui negara sebelum ini.
Dulu katanya ada seorang pejuang Felda yang sembang kencang, apa nama dia? dia di mana sekarang? Dah selesa saya dengar, katanya menerusi facebooknya hari ini.
Kenyataan Najib mungkin ditujukan kepada Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang sebelum ini lantang memperjuangkan nasib peneroka.
Mazlan ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu.
Bekas Adun DAP didakwa buat tuntutan palsu lebih RM38,000
Bekas Adun DAP hari ini berdepan pertuduhan kerana didakwa membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah lebih RM38,000.
Dua pertuduhan dibacakan kepada Adun Teluk Datuk, Loh Chee Heng oleh Pendakwa Raya, Muhammad Suffian Jaafar mewakili Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam bacaan pertama, Loh didakwa membuat 1 dokumen palsu memohon peruntukan belanjawan untuk satu majlis sambutan hari guru yang tidak diadakan.
Pada bacaan ke-2, pendakwa raya menyebutkan, Loh membuat 1 lagi tuntutan palsu berjumlah RM20,000 dalam kertas projek Program Pesta Tang Lung Tahun 2015 DUN Teluk Datuk.
Intai, hendap perlu diklasifikasi sebagai jenayah
Perbuatan mengintai atau menghendap perlu diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Beliau berkata, kerajaan akan melihat perkara itu dengan lebih serius termasuk mewujudkan satu undang-undang baharu bagi menangani gejala tersebut selepas mendapat maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan dan orang awam.
Menurut Liew, beberapa negara luar telah lama melaksanakan Undang-Undang Menghendap seseorang dan tindakan diambil segera apabila laporan dibuat kepada pihak berkuasa, selain mengenakan hukuman terhadap pesalah jika sabit kesalahan.