1. Tak perlu tukar Maszlee: PM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan dan tidak akan menggantikannya dengan menteri yang baharu.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak nampak sebarang masalah yang ditimbulkan Maszlee sepanjang memegang portfolio itu, meskipun bercakap soal kaum, namun tidak bermakna beliau seorang rasis.
Sebelum ini beberapa petisyen dibuat bagi mendesak agar Dr Maszlee meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
2. Malaysia kekal di tangga ke-22 WCY 2019
Malaysia mengekalkan kedudukannya di tangga ke-22, dalam kalangan 63 negara, dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2019 yang dikeluarkan oleh IMD World Competitiveness Centre, berpangkalan di Lausanne, Switzerland.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata dengan skor 82.54 daripada 100 mata, Malaysia mengekalkan kedudukannya bagi tahun kedua, mencerminkan sentimen positif komuniti perniagaan terhadap kerajaan baharu.
WCY 2019 menilai ekonomi berdasarkan kepada empat faktor input daya saing iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan prasarana dengan setiap satu merangkumi lima sub-faktor.
3.Anwar gesa kerajaan beri duit raya pada peneroka walaupun sedikit
Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menimbang untuk tetap memberikan bantuan kepada peneroka Felda sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Beliau yang juga pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat berkata perkara itu dibincang dalam mesyuarat kaukus semalam.
Beliau berkata mereka memahami kenyataan kerajaan, terutama (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Azmin Ali berkenaan masalah kewangan dan perbincangaan tentang masa depan (Felda).
Namun, diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi duit raya walaupun sedikit bagi meringankan beban peneroka Felda
4. Facebook komited perkukuh jalur lebar di Malaysia
Facebook komited untuk memperkasakan sambungan jalur lebar di negara ini dengan meneruskan program perintis berskala besar, Terragraph di Cyberjaya tahun ini.
Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan, berkata program perintis yang bermula di Georgetown itu menunjukkan kejayaan dan maklum balas positif daripada pengguna individu serta perniagaan.
Justeru, beliau berkata Facebook akan berkerjasama dengan syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor telekomunikasi untuk menjalankan program itu di Cyberjaya.
Tambah beliau, selepas kejayaan di Georgetown dan bakal bermula di Cyberjaya, Facebook tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program Terragraph di seluruh negara.
5. Penyanyi Dahlan Zainuddin meninggal dunia
Penyanyi popular era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 78 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang jam 9.48 malam semalam.
Allahyarham tidak sedarkan diri akibat diserang angin ahmar sejak Sabtu lalu.
Sekitar empat tahun lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu diserang strok kali pertama mengakibatkan lumpuh sebelah kiri.
Berita sedih itu disahkan oleh isterinya, Datin Effa Rizan kepada rakan media malam semalam.