Tiada ‘duit percuma’ punca rakyat tak suka kerajaan: Mahathir
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak begitu disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran lama yang memberi “duit percuma”.
Katanya, kerajaan lama suka beri wang percuma kepada rakyat, semua orang dapat wang percuma,” katanya pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo hari ini.
Sebaliknya kata Mahathir apabila Pakatan Harapan mengambil alih negara, kerajaan kini perlu menanggung beban hutang, sehinggakan kita tidak mampu lagi memberi wang percuma.
Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, kerajaan perlu berhati-hati serta cermat dalam menguruskan kewangan negara untuk memperbetulkan masalah kewangan.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya ketidakpuasan hari rakyat terhadap kerajaan PH terutamanya orang Melayu baru-baru ini.
Harus bukan Islam agih bantuan zakat: Mufti Pulau Pinang
Hukumnya harus bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata, dari sudut fekah, adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.
katanya, ini hanya yang berkaitan dengan mu’amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.
Namun Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain.
Beliau mengulas tentang gambar berkaitan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang yang tular dalam media sosial.
Katanya, Zakat Pulau Pinang (ZPP) hanya menyalurkan zakat menerusi pelbagai pihak termasuk menerusi wakil-wakil rakyat Islam dan bukan Islam untuk disampaikan kepada golongan asnaf.
RM30,000 sehala, orang Kelantan paling ramai sewa helikopter balik raya
Pemilik syarikat pengurusan helikopter, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, 31, yang menyediakan perkhidmatan sewa helikopter di musim perayaan tidak menyangka biar pun kali pertama memperkenalkan perkhidmatan itu pada musim perayaan kali ini, ia mendapat sambutan daripada orang ramai.
Katanya, bagi perkhidmatan tersebut, seabyak 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, ‘Balik Raya Elak Jem’.
Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikatnya menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.
Setakat ini katanya, pihak syarikat beliau mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Katanya, penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.
Bagaimanapun katanya, untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.
26 anggota JPJ Terengganu menyamar penumpang bas
Seramai 26 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan kesalahan pemandu pengangkutan awam itu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, kaedah penyamaran itu akan dilakukan setiap hari dalam tempoh dua minggu Ops Hari Raya Aidilfitri bermula semalam hingga 13 Jun depan dengan melibatkan dua destinasi berbeza bagi perjalanan pergi dan balik.
Sehubungan itu, beliau meningatkan pemandu bas ekspres supaya memandu mengikut peraturan ditetapkan kerana ada pegawai JPJ yang menyamar untuk mengambil tindakan terutama bagi kesalahan utama seperti tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya,” katanya.
39 pemain, pegawai pasukan bola sepak Perak terima lot tapak kediaman
Seramai 39 pemain dan pegawai skuad Liga Super Perak menerima lot tapak kediaman di mukim Hulu Kinta di Ipoh, susulan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap skuad berkenaan dalam membawa pulang piala berkenaan, selepas kejayaan kali terakhir pada tahun 2000.
Sebagai rekod, Perak berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 28 Okt tahun lalu.
Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata, pihaknya juga berharap setiap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh, khususnya dalam memperbaiki kedudukan skuad The Bos Gaurus dalam Liga Super pada musim ini.