Tidak tolak kemungkinan tutup MAS: Mahathir
Kerajaan tidak tolak kemungkinan untuk menerima cadangan supaya Malaysia Airlines Berhad (MAS) ditutup bagi menangani masalah hutang yang ditanggung syarikat penerbangan negara itu.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, isu berkaitan dengan MAS itu disifatkan sebagai perkara yang sangat serius.
Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa pilihan.
Baru-baru ini, pengasas firma perunding penerbangan Malaysia yang berpangkalan di Endau Analytics, Shukor Yusof berkata, tidak akan ada isu kapasiti jika MAS ditutup kerana kekosongannya akan diisi oleh syarikat penerbangan lain.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak pengurusan MAS bertanggungjawab untuk meneliti pilihan-pilihan tersebut termasuk saranan supaya ia ditutup.
Kes Najib tertangguh, peguam cedera tangan main dengan anjing
Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menyambung perbicaraan kes rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan SRC International Sdn Bhd sehingga Jumaat ini.
Ini susulan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan atas alasan kecederaan di tangannya kerana anjing peliharaannya didakwa melompat ke atasnya menyebabkan tangannya tercedera.
Sementara itu, Peguam Negara, Tommy Thomas, yang bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes tersebut, berkata walaupun beliau bersimpati tetapi pihak pendakwaan tidak menyokong perbicaraan ditangguhkan lebih lanjut kerana semua orang mahu perbicaraan bermula esok jika boleh.
Najib berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM42 juta daripada SRC, sebuah syarikat milik kerajaan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Remaja dituduh bunuh CEO Cradle Fund dakwa dicabul dalam tahanan
Peguam yang mewakili remaja yang berdepan tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan hari ini mendakwa anak guamnya mengalami serangan seksual dan fizikal ketika dalam tahanan.
Hisyam Teh, yang mewakili remaja berusia 16 tahun dan adiknya berumur 13 tahun, memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman bahawa remaja itu mendakwa dia dicabul rakan tahanan di pusat tahanan di Sentul, Kuala Lumpur.
Ab Karim berkata, peguam perlu memfailkan permohonan jika mahu memindahkan remaja terbabit ke pusat tahanan lain dan mendapat jaminan sementara menunggu perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jamin Aripin memberitahu mahkamah, pihak pendakwa akan menemui warden berhubung serangan tersebut.
PRK Rantau: Tok Mat ada kelebihan
Pakatan Harapan menjangkakan cabaran besar dalam pilihan raya kecil Rantau pada 13 April nanti kerana UMNO besar kemungkinan menurunkan Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan, kata Azmin Ali.
Timbalan presiden PKR itu berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mempunyai kelebihan kerana pernah menjadi Adun Rantau dan menteri besar Negeri Sembilan.
Mohamad yang merupakan anak jati Rantau, pernah menjadi Adun Rantau dan menteri besar Negeri Sembilan sejak 2004 hingga tahun lalu.
Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan Dr Streram Sinnasamy sebagai calon PH bagi PRK pada 13 April nanti.
Streram dijangka berdepan Mohamad yang menang tanpa bertanding kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
260 pelajar, orang awam mangsa baharu pencemaran Sungai Kim Kim
Seramai 260 orang mangsa baharu melibatkan pelajar dan orang awam susulan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hari ini.
Exco Kesihatan, Dr Sahruddin Jamal mengesahkan angka itu kepada media selepas melawat Dewan Komuniti Taman Pasir Putih kira-kira jam 2 petang.
Daripada angka itu, 102 pelajar adalah dari SMK Tanjung Puteri Resort dan 56 orang dari pelajar SK Tanjung Puteri Resort dengan 52 orang dihantar ke Hospital Sultan Ismail serta Hospital Sultanah Aminah.
Difahamkan penduduk sekitar yang menerima rawatan dari kawasan Taman Tanjung Putri, Taman Pasir Putih, Jalan Lampam, Jalan Sluang, Jalan Kaloi dan Jalan Selayang.