Wan Azizah turun berkempen guna kereta sendiri
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Cameron Highlands hari ini dengan menaiki kenderaan sendiri.
Menerusi gambar yang dimuat naik di akaun Twitternya, beliau kelihatan turun daripada sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) berwarna perak.
Sebelum ini, tular di laman sosial sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua lelaki memakai baju Pakatan Harapan menggunakan kenderaan kerajaan mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang disembunyikan di bawah bendera parti Pakatan Harapan dan Jalur Gemilang.
Nik Abduh seru pengundi Pas sokong calon BN
Penyokong PAS diminta memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu sudah jelas memandangkan lawan BN dalam PRK berkenaan ialah calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga musuh utama Pas.
Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, ahli Pas perlu melupakan dendam mereka selama bertahun-tahun kepada BN.
Beliau berkata, kesilapan mengundi calon Pakatan Harapan akan mengakibatkan penyesalan secara berpanjangan kepada ahli dan penyokong Pas.
Bersih gesa MB Pahang jelaskan ucapan ancaman pada pengundi
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 2.0 mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yang didakwa sebagai mengancam pengundi menjelang hari pengundian PRK Cameron Higlands Sabtu ini.
Bersih 2.0, merujuk kepada laporan ucapan Wan Rosdy yang telah dibuat pada 21 Januari, di mana beliau menyeru kepada penonton yang hadir dalam satu program di Cameron Higlands untuk mengundi BN, dan mengingatkan mereka bahawa isu tanah berada di bawah bidang kuasa negeri.
Bersih mendakwa kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Menteri Besar itu mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu melibatkan tanah.
Ku Nan kekal pengakuan tak salah terima rasuah RM2 juta
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, pada 2016.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.
Mahkamah menetapkan enam hari bermula 2 hingga 11 Julai ini untuk perbicaraan kes Tengku Adnan, 68, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya.
Agong baharu diketahui esok
Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong baharu yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.
Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada 10.30 pagi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan lepas.
Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.