1. Zahid masih ceria, kata peguam
Biarpun berdepan dengan 33 tuduhan baru hari ini berjumlah RM42.7 juta, bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih kekal bersikap ceria dan positif, kata peguam belanya, Kitson Foong.
Foong berkata, kliennya masih jauh daripada diputuskan bersalah dan mereka masih dalam fasa persediaan.
Tambahnya lagi, Datuk Seri Zahid sentiasa mempunyai karakter yang kuat dan pihaknya akan menjadi pasukan pembelaan terbaik untuk kes ini.
Dengan 33 pertuduhan terbaru hari ini, Zahid kini berdepan dengan 87 pertuduhan, dan pertuduhan itu adalah berkaitan rasuah melibatkan Ultra Kirana Sdn Bhd.
2. Prosedur pinjaman pekerjaan diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020
Keperluan melonggarkan prosedur pinjaman, urusan percukaian dan pengambilan pekerja, termasuk pekerja asing, merupakan antara isu utama yang diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Pada mesyuarat Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Putrajaya hari ini, beliau berkata keperluan melonggarkan prosedur pinjaman bagi memudahkan perniagaan mendapatkan akses kepada peminjaman secara lebih meluas, akan diberi perhatian.
Isu aset penyampaian juga perlu diberi perhatian memandangkan terdapat pandangan bahawa birokrasi boleh dikurangkan, dan penyampaian oleh para anggota pentadbir boleh ditingkatkan supaya urusan rasmi dipermudah dan diselesaikan secara lebih efisien, katanya.
3. Pulangkan aset jika tidak mampu jana keuntungan
Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) mahu syarikat FGV Holdings Bhd (FGV) memulangkan kembali tanah dan aset yang dipajakkan kepada mereka jika masih gagal menjana keuntungan.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, perkara itu sudah lama dibangkitkan peneroka supaya aset tersebut dikembalikan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Beliau berkata, kerajaan perlu serius untuk pertimbangkan rayuan masyarakat Felda dan NGO ini kerana ia mampu memulihkan Felda seperti sedia kala.
Mazlan berkata, tindakan itu dilihat sebagai satu isyarat kepada pihak FGV supaya memastikan syarikat berkenaan dapat menjana keuntungan berdasarkan arahan daripada pemegang saham.
4. Lupus satu tan metrik abu al-Quran di perairan Kelantan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) melupuskan satu tan metrik abu al-Quran di perairan Kelantan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, hampir lima tan metrik abu al-Quran lama dan rosak dikumpulkan sejak awal Januari 2019.
Menurutnya, abu dilupuskan secara berperingkat dan satu tan metrik abu yang dikiubkan dilupuskan hari ini.
5. Dua tahun berkahwin, Song Joong Ki fail perceraian terhadap Song Hye Kyo
Pasangan selebriti terkenal Song Hye-kyo dan Song Joong-ki mengambil keputusan untuk bercerai hanya selepas dua tahun berkahwin.
Firma guaman yang mewakili Joong-ki, 33 tahun, sudah pun memfailkan permohonan bercerai dengan isterinya di Mahkamah Keluarga Seoul pada Rabu lalu.
Hye-yo, 37, dan Joong-ki berkahwin pada 31 Oktober 2017 selepas mula menjalinkan hubungan cinta ketika sama-sama menjayakan drama popular Descendants of the Sun pada 2016.