Kalau kaya kenapa pindah duit RM10 juta beli rumah di London?
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menyembunyikan tindakannya memindahkan wang RM10 juta bagi pembelian kediaman di London, United Kingdom.
Beliau berkata, selepas timbul isu berkenaan, ramai pimpinan UMNO yang mempertahankan calon BN itu bagi PRK Rantau Rantau dengan alasan “Tok Mat memang kaya” disebabkan beberapa jawatan korporat dipegangnya sebelum ini.
Bagaimana pun kata Rafizi, terdapat dua kemungkinan sahaja membuatkan seseorang menggunakan kaedah pemindahan wang seperti didakwa dilakukan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sama ada wang dipindahkan melebihi had dibenarkan Bank Negara atau wang berkenaan bukan daripada sumbernya sendiri.
Sehubungan itu katanya, jika Tok Mat bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, lebih baik beliua berterus-terang dan jujur dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu pada 2007 secara sembunyi.
Belanja RM140 juta, gaji lebih RM2 juta, Anwar mahu Isa jawab
Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa bekas pengerusi Felda menjelaskan perbelanjaan RM140 juta termasuk lawatan ke luar negara bersama keluarga.
Presiden PKR turut meminta penjelasan sama ada Tan Sri Mohd Isa Samad menerima pendapatan dan elaun lebih RM2 juta setahun, lapor The Star.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata peneroka terpaksa membayar hutang tinggi disebabkan perbelanjaan tidak munasabah dan semua keuntungan diambil pengurusan.
Katanya, pejabat pengerusi Felda tiga ke empat kali lebih selesa berbanding pejabat Perdana Menteri.
Kerajaan perlu dedah juga penipuan ECRL: Jomo
Tindakan kerajaan mendedahkan mengenai kecurangan dan penipuan besar-besaran dalam FELDA adalah langkah tepat dan usaha seumpama itu perlu diteruskan bagi beberapa projek lain , demikian menurut Ahli Ekonomi dan Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.
Beliau berkata, pendedahan mengenai penipuan besar-besaran FELDA adalah sesuatu perkara yang perlu diambil serius.
Katanya, meskipun ramai yang tertumpu kepada ketirisan yang berlaku dalam 1MDB, terdapat beberapa lagi penipuan besar berlaku termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membentangkan kertas Putih FELDA dengan menumpukan kepada langkah proaktif yang diambil untuk menjamin masa depan peneroka, selain mendedahkan kecurangan serius membabitkan masalah kewangan gergasi perladangan itu.
Osman jelaskan peletakan jawatan MB Sabtu ini
Osman Sapian akan menjelaskan tindakannya meletakkan jawatan sebagai menteri besar Johor pada Sabtu ini.
Bercakap kepada Bernama semalam, beliau berkata penjelasan itu akan dibuat selepas beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bagaimanapun, Osman tidak menerangkan lebih lanjut bagaimana penjelasan itu dilakukan sama ada menerusi sidang media atau kenyataan akhbar.
Juruukur temui tulang manusia dalam hutan dekat Uniten
Gempar apabila sekumpulan juruukur yang melakukan kerja mengukur tanah di kawasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menemui tulang manusia, berhampiran Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, turut ditemui sepasang selipar, sebentuk cincin, jaket berwarna gelap, tali pengikat rambut dan gelang tangan.
Katanya, dalam kejadian jam 10 pagi, juruukur terbabit memberitahu terlihat selipar, pakaian dan bantal di satu lokasi.
Beliau berkata, berkemungkinan mayat mangsa ditinggalkan di lokasi berkenaan kira-kira setahun yang lalu sebelum dijumpai.