Najib baca buku ’Jangan Selewengkan Ekonomi Malaysia’ di mahkamah
Datuk Seri Najib Razak hari ini tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tanpa penyokong, tidak seperti hari pertama perbicaraannya.
Bekas perdana menteri yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd bersendirian tanpa ahli keluarga atau rakan-rakan.
Namun, dua buku yang dibawa Najib ketika beliau duduk di barisan depan galeri awam sebelum perbicaraan bermula menarik perhatian, lapor Malay Mail.
Beliau dilihat membaca buku berjudul Dunia Tanpa Tembok oleh Ayman Rashdan Wong, koleksi 50 artikel berkaitan geopolitik antarabangsa terbitan Patriots.
Buku kedua, juga terbitan syarikat sama, adalah Jangan Selewengkan Ekonomi Malaysia oleh Kauthar Rozmal Khairul Azri dan Najib Saahari.
ECRL: China setuju pulangkan sebahagian bayaran RM3.1 bilion
China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan Fasa 2, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar dan Jajaran Utara berdasarkan kontrak asal.
Sejumlah RM500 juta akan dipulangkan dalam tempoh seminggu dari 12 April, 2019 dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari sekarang membabitkan RM1 bilion,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bakinya akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas potongan bagi tuntutan yang disahkan susulan kerja-kerja yang terbantut, penggantungan, serta pembatalan jajaran utara, katanya pada sidang media susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April.
SA itu meliputi Fasa Satu dan 2 kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL pada harga yang dikurangkan kepada RM44 bilion.
Tiga lelaki periksa kereta polis ditahan reman tiga hari
Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu, ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
Ketiga-tiga lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) itu direman sehingga 17 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu, lima lelaki dipercayai penyokong PH bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.
Lima lelaki terbabit telah meminta anggota polis berkenaan membuka but MPV polis tersebut kerana mengesyaki kenderaan itu membawa kertas lebihan undi, namun mereka akhirnya tidak menemukan kertas undi yang didakwa.
Sahruddin mulakan tugas rasmi MB Johor hari ini
Dr. Sahruddin Jamal hari ini memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar apabila memasuki pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar hari ini.
Beliau yang mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar ke-17 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam di Istana Bukit Serene, Johor Bahru tiba di pejabat pentadbiran kerajaan negeri berkenaan pada pukul 9 pagi ini.
Ketibaan Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahim Nin.
Beliau kemudian dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar.
Pukul pengawal keselamatan: Lan Pet Pet didenda RM2,000
Pelawak Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 49, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Seremban hari ini selepas mengaku salah memukul seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pada 6 April lalu.
Pada 8 April lalu melaporkan seorang pelawak terkenal disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di Nilai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pelawak tersebut dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan berkenaan, Yahya Manap sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa.
Dia yang pernah menganggotai sebuah kumpulan pelawak dipercayai berang kerana ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat semasa memasuki kawasan perumahan itu.